Tahniah sekali lagi kepada Khairy untuk 13,104 kes Covid-19 yang direkodkan semalam, harapnya angka kes jangkitan akan terus menurun ke bawah paras 10,000 bermula 1 Oktober dan menurun ke paras empat angka menjelang pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober
Tahniah sekali lagi kepada Khairy Jamaluddin untuk 13,104 kes Covid-19 yang direkodkan semalam, harapnya angka kes jangkitan akan terus menurun ke bawah paras 10,000 bermula 1 Oktober dan menurun ke paras empat angka menjelang pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober.
Semasa saya mengucapkan tahniah kepada Khairy pada Jumaat minggu lalu, selepas Malaysia buat pertama kali mencatatkan angka kes harian baharu Covid-19 di bawah paras 14,000 dalam tempoh dua bulan pada Khamis lalu, saya turut menegaskan bahawa Menteri Kesihatan itu perlu bekerja lebih keras untuk menurunkan angka kes jangkitan ke bawah paras 4,000 memandangkan ia adalah salah satu daripada tiga syarat untuk beralih dari Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara seperti diumumkan Perdana Menteri terdahulu pada 15 Jun yang lalu.
Namun, masih terdapat ketidakpastian sama ada penularan wabak ini semakin reda kerana kita mencatatkan 13,754 kes jangkitan pada Khamis lalu dan disusuli dengan peningkatan sebanyak 14,554 kes pada Jumaat dan menurun kepada 13,899 kes pada Sabtu. Harapnya, 13,104 kes jangkitan yang dicatatkan semalam, menandakan penurunan berterusan lekuk jangkitan dalam gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia.
Pun begitu, 278 kes kematian akibat Covid-19 (dengan 99 daripadanya adalah kematian di luar fasaliti (BID), menjadikan kes terkumpul BID terkini sebanyak 5,022), yang meletakkan Malaysia sebagai negara keempat di dunia dengan kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 tertinggi, bukan sesuatu yang bagus dan usaha keras diperlukan untuk menurunkan angka korban akibat jangkitan Covid-19 ke paras dua angka.
Saya tidak akan meminta maaf kerana menunjukkan obsesi yang mendalam terhadap wabak Covid-19 serta mengharapkan Khairy berjaya dalam perang melawan Covid-19 kerana penularan wabak ini telah membawa ancaman yang besar terhadap Malaysia.
Situasi penularan wabak Covid-19 yang kian memburuk, mengakibatkan lebih 2 juta jangkitan dan lebih 25,000 nyawa terkorban, adalah sebab utama mengapa pemimpin Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri.
Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik untuk bersatu dan melawan musuh bersama ini, iaitu coronavirus yang telah memusnahkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia, selain merobek fabrik sosial Malaysia tidak kira di rumah, sekolah, pusat pengajian tinggi, kilang atau pejabat.
Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara.
Pandangan dan kritikan saya terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19 hanya mempunyai satu objektif -- untuk melihat beliau berjaya dan tidak gagal dalam perang melawan Covid-19.