Peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen dialu-alukan dan diharapkan dapat membawa sistem politik demokrasi yang lebih inklusif dan saksama di Malaysia
Saya mengalu-alukan pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mastura Mohd Yazid di Parlimen hari ini yang mengumumkan semua Ahli Parlimen baik daripada pihak kerajaan atau pembangkang akan diberikan peruntukan sama rata untuk tempoh empat bulan terakhir ini untuk kawasan Parlimen masing-masing.
Beliau mengatakan tindakan ini selari dengan komitmen Perdana Menteri Ismail Sabri untuk melaksanakan transformasi Parlimen.
Saya melihat perkara ini sebagai tanda positif memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi mungkin akan berjaya walaupun terdapat ramai pihak yang menjangkakan kegagalannya.
Perkara ini bukannya terjadi kerana Ismail Sabri seorang reformasi, sebaliknya beliau dipaksa oleh keadaan politik semasa untuk melaksanakan reformasi. Jika tidak, beliau mungkin akan menjadi seperti apa yang dikatakan Whip Parlimen UMNO, Tajuddin Abdul Rahman, “Perdana Menteri 30 hari” atau sekiranya bertahan lebih lama sekalipun, perdana menteri dengan penggal yang lebih pendek berbanding dengan Muhyiddin Yassin.
Dalam 10 hari selepas menandatangani MOU CSR dengan Pakatan Harapan, beberapa komitmen kerajaan telah mula dilaksanakan.
Hakikat sama ada Ismail Sabri menjadi perdana menteri 30 hari atau perdana menteri dengan tempoh berkhidmat terpendek dalam sejarah ini tidaklah relevan untuk PH.
Apa yang kita mahukan adalah gencatan dan moratorium politik untuk tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang supaya semua rakyat Malaysia dapat menumpukan usaha dan tenaga untuk menyelesaikan wabak Covid-19 dan menetapkan semula hala tuju negara untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dengan reformasi parlimen dan institusi.
Kita tidak boleh biarkan ancaman Covid-19 ini untuk berterusan walaupun sehari lebih lama lagi, kerana sedia ada pun, kita telah menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini, mencatatkan lebih daripada dua juta kes dan lebih daripada 25,000 kematian akibat Covid-19, kalah kepada negara seperti China, dan juga India dan Indonesia.
Kerana inilah kita perlu menjelaskan MOU CSR ini kepada semua peringkat masyarakat, mengapa kita semua tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau latar belakang politik, mempunyai sebab bersama untuk melihat kejayaan MOU CSR ini.
Kita perlu jadikan MOU CSR ini MOU rakyat.
Sekiranya memorandum persefahaman ini gagal, kita perlu pastikan yang ia gagal bukan kerana kegagalan parti dan pemimpin PH untuk memenuhi komitmen mereka, sebaliknya kerana kegagalan Ismail Sabri untuk membentuk konsensus untuk menjayakan MOU CSR ini.