Mesyuarat Kabinet hari ini perlu menerima keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia dengan bapa warga asing dan mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula sebarang rayuan

Tidak ada keperluan untuk Kabinet mempertimbangkan lagi isu kanak-kanak yang lahir di luar negara daripada seorang ibu warganegara Malaysia dan bapa bukan warga negara ini.

Apa yang Kabinet perlu lakukan adalah untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kerakyatan automatik kepada kanak-kanak ini dan mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula permohonan rayuannya.

Sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan itu sendiri adalah isu yang berbeza dan tidak boleh dikelirukan dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia rakyat Malaysia.

Tidak ada keperluan di mana-mana yang mengatakan kerajaan perlu meminda Perlembagaan sekiranya mahu menerima keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada seorang ibu warganegara Malaysia layak untuk menerima kerakyatan melalui proses undang-undang.

Satu-satu perkara yang diperlukan hanya untuk kerajaan merendah diri dan mengakui kesilapannya sebelum ini.

Inilah masanya untuk Menteri-menteri Kabinet menunjukkan kebolehan mereka -- sama ada mereka ini adalah pembuat dasar atau hanya pak turut dan mak turut.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri