Speaker Dewan Rakyat perlu memberikan laluan kepada orang lain untuk mempengerusikan siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat mengenai sama ada seorang Menteri Kanan telah menghalang Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming daripada mempengerusikan sidang pada petang hari Isnin

Saya telah katakan semalam yang Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat perlu menyiasat sama ada seorang Menteri Kanan telah menghalang Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, daripada mempengerusikan persidangan Parlimen sesi petang Isnin yang lepas.

Pada hari Selasa, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo telah mencabar Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Azmin Ali, untuk mengaku sama ada beliaulah Menteri Kanan yang menyekat Nga daripada mempengerusikan sidang petang hari sebelumnya, tetapi Azmin mengelak daripada menjawab persoalan tersebut semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Gangguan terhadap keputusan Yang Di Pertua Dewan Rakyat oleh pihak Eksekutif ini adalah satu perkara yang amat serius dan satu tingkah laku yang amat tidak boleh diterima di Parlimen memandangkan perbuatan ini memberikan kesan kepada kedudukan dan martabat Parlimen dan juga merupakan satu pencabulan prinsip pemisahan kuasa seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun telah mengatakan yang beliau berubah fikiran mengenai permintaan beliau untuk meminta Ahli Parlimen Teluk Intan mempengerusikan majlis pada petang hari Isnin, persoalan yang masih belum terjawab adalah sama ada seorang Menteri Kanan telah cuba untuk menghalang Nga Kor Ming daripada mempengerusikan sidang ini dan sama ada perbuatan seperti itu merupakan satu penyalahgunaan hak dan keistimewaan Ahli Parlimen.

Perkara ini perlu disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat. Memandangkan Yang di Pertua Dewan Rakyat juga merupakan pengerusi jawatankuasa ini, beliau perlu memberikan ruang kepada Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain untuk menyiasat perkara ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri