DAP akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan Malaysia menang dalam perang melawan wabak Covid-19, namun kami akan tetap memberikan kritikan apabila ada kesalahan

Situasi penularan wabak Covid-19 yang kian memburuk adalah sebab utama mengapa pemimpin Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri.

Menurut laman web Worldometer, kita telah menewaskan semua negara-negara besar dunia, tidak kira China, India, Rusia, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia atau Australia dalam kategori “kes kematian per sejuta penduduk sepanjang tujuh hari lalu” dan hanya tewas kepada negara-negara kecil dan negara-negara pulau yang rata-ratanya mempunyai jumlah penduduk sekitar kurang dari tiga juta orang.

Kita telah merekodkan lebih dua juta kes Covid-19 sepanjang 21 bulan yang lalu dan mengumpulkan hampir 25,000 kematian akibat wabak itu, termasuk kira-kira 5,000 kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID) -- angka yang luar biasa mengambil kira jumlah penduduk di negara kita.

Bolehkah kita bayangkan tragedi, kemusnahan dan kesedihan yang dialami rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik akibat daripada penularan Covid-19 yang berpanjangan?

Inilah masanya untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik untuk bersatu dan melawan musuh bersama ini, iaitu coronavirus yang telah memusnahkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia, selain merobek fabrik sosial Malaysia tidak kira di rumah, sekolah, pusat pengajian tinggi, kilang atau pejabat.

Malah, wabak Covid-19 juga sebenarnya telah menjadi semacam suatu ujian kepada kita; sama ada kita mampu untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia bagi melawan musuh bersama ini.

DAP adalah sebuah parti anak Malaysia yang patriotik yang sentiasa bersedia untuk mencurahkan taat setia, cinta dan dedikasi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau politik.

Ini sebabnya mengapa DAP akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan Malaysia menang dalam perang melawan wabak Covid-19, namun kami akan tetap memberikan kritikan yang membina jika kerajaan melakukan sebarang kesalahan.

Biar saya berlaku jujur -- satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan Kabinet Perdana Menteri, Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan.

Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara, dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya.

Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri