MOU CSR di antara Ismail Sabri dan pemimpin PH belum tentu akan gagal, yang pasti kegagalan tidak boleh datang daripada PH

Izinkan untuk saya jelaskan apa yang saya telah nyatakan dalam mesyuarat zoom dengan pemimpin DAP Selangor pada hari Ahad: memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (MOU CSR) yang ditandatangani di antara pihak Perdana Menteri Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan pada hari Isnin lepas belum tentu akan gagal, tetapi sebarang kegagalan memorandum persefahaman ini tidak boleh disebabkan oleh Pakatan Harapan.

Ada mereka yang ingat saya telah mengatakan yang MOU CSR ini pastinya akan gagal. Saya tidak katakan sebegitu.

Tetapi, pada masa yang sama, ramai yang menjangkakan kegagalan MOU CSR ini, tetapi di DAP dan PH, kami mahu melihat MOU ini berjaya kerana ia berpotensi membawa landskap politik baharu untuk Malaysia.

Tetapi perkara ini hanya boleh berjaya sekiranya kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama untuk menjayakannya, usaha sebelah pihak sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan memorandum persefahaman ini.

MOU CSR ini telah pun mempunyai ramai musuh.

Wawancara Utusan Malaysia dengan Whip Parlimen UMNO, Tajuddin Abdul Rahman, mengatakan tanpa MOU CSR ini, Ismail Sabri akan menjadi “Perdana Menteri 30 Hari” menjadi satu contoh yang baik perkara ini.

Masanya telah tiba untuk semua orang di Malaysia menjadikan wabak Covid-19 di negara kita ini sebagai keutamaan nombor 1 kita semua yang perlu diselesaikan segera. Kita tidak mampu untuk terus mencatatkan dua juta kes dengan lebih daripada 22,000 kematian akibat wabak Covid-19 dengan pertambahan angka-angka ini secara berterusan di masa hadapan.

Berhadapan dengan ancaman terhadap kehidupan kita semua yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini, semua masalah-masalah lain perlulah diketepikan buat sementara waktu -- jika tidak, apa sahaja yang masih akan ada sekiranya Malaysia dimusnahkan oleh wabak Covid-19?

Daripada menjadi salah satu negara dengan prestasi terbaik menguruskan Covid-19, dalam 21 bulan yang lepas, kita mencatatkan sejarah sebagai negara dengan prestasi terburuk di dunia:

  • Kita kalah dengan China (yang berada di tempat ke-109 sedangkan Malaysia berada di tempat ke-21 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia);
  • kita kalah dengan Indonesia dari segi kes baharu (Indonesia mencatatkan 1,932 kes manakala Malaysia mencatatkan 14,345 kes semalam) dan juga kes kematian harian akibat Covid-19 (Indonesia mencatatkan 166 kematian berbanding dengan 301 kematian di Malaysia);
  • kita kalah dengan lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding dengan India semalam (262 kematian di India, 301 kematian di Malaysia).

Pakatan Harapan bersetuju untuk menandatangani MOU CSR ini bukan kerana kita mahu mengelakkan Ismail Sabri daripada menjadi Perdana Menteri 30 Hari -- kerana perkara ini bukanlah satu kemungkinan untuk kita dan Anwar Ibrahim juga tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri -- tetapi untuk memimpin Malaysia dalam melaksanakan gencatan dan moratorium politik supaya kita dapat tumpukan semua usaha kita kepada melawan Covid-19 dan menetapkan semula negara kita ke arah menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan melaksanakan reformasi parlimen dan institusi negara.

Kerana inilah kita perlu menjelaskan mengapa MOU CSR ini dipersetujui kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau latar belakang politik.

Sekiranya MOU CSR ini gagal, ia tidak boleh gagal kerana kegagalan parti-parti dan para pemimpin PH untuk memenuhi komitmen mereka, sebaliknya kerana kegagalan Ismail Sabri untuk membentuk suatu konsensus untuk menjayakan MOU CSR ini.

Kejadian buruk di Parlimen di mana seorang Menteri Kanan menyekat Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, daripada menjemput Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming, daripada mempengerusikan persidangan tengahari semalam adalah salah satu contoh kegagalan Ismail Sabri untuk membentuk konsensus yang selari dengan memorandum persefahaman ini dalam Kabinet beliau.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri