MOU CSR mungkin gagal kerana kerajaan Ismail Sabri ini bukanlah kerajaan Pakatan Harapan, tetapi sebarang kegagalan ini tidak akan disebabkan oleh parti-parti Pakatan Harapan tidak memenuhi komitmennya
Satu persoalan yang kerap ditanya dalam mesyuarat zoom DAP di seluruh negara adalah sama ada memorandum persefahaman keyakinan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan boleh gagal.
Ya, memorandum CSR ini mungkin akan gagal, kerana kerajaan Ismail Sabri ini bukanlah sebuah kerajaan Pakatan Harapan, tetapi sebarang kegagalan ini tidak boleh disebabkan oleh parti-parti Pakatan Harapan yang tidak memenuhi komitmen kita di bawah memorandum ini.
Memandangkan parti-parti PH telah memberikan komitmen kita kepada memorandum ini, kita perlu mempunyai integriti, kejujuran, dan prinsip untuk memastikan kita terus memenuhi janji kita di bawah MOU ini.
Memandangkan kerajaan Ismail Sabri ini bukanlah kerajaan Pakatan Harapan, terdapat banyak perkara yang dibuat oleh kerajaan beliau yang tidak dapat dipersetujui oleh parti, pemimpin, dan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Kita akan terus menjadi pembangkang yang lantang bersuara terhadap dasar dan tindakan yang tidak boleh diterima, tetapi pada masa yang sama, kekal komited terhadap janji yang kita persetujui di bawah MOU ini.
Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri, juga telah memberikan janji mengenai pelbagai perkara mengenai isu nombor 1 negara buat masa ini, untuk memenangi perang melawan Covid-19 dan mengembalikan negara kita ke landasan yang betul dengan reformasi institusi dan Parlimen.
Sekiranya Ismail Sabri tidak memenuhi janjinya dan menyebabkan MOU ini gagal, kita perlu pastikan rakyat faham di mana silapnya dan siapa yang menjadi punca kegagalan MOU ini.
Tetapi, saya berbesar hati melihat Ismail Sabri mula melaksanakan pelbagai cadangan dalam MOU CSR ini, terutamanya yang berkaitan dengan wabak Covid-19 -- yang merupakan satu petanda yang baik.
Namun, terdapat “garis merah” yang tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak, misalnya, membiarkan Malaysia menjadi lebih kleptokratik, lebih autokratik, atau semakin tidak demokratik.
MOU CSR ini adalah satu peluang yang baik untuk melihat perubahan dasar dalam negara; saya pertama kali bangkitkan keperluan untuk adanya undang-undang anti lompat parti di Parlimen lima puluh tahun yang lepas dan saya berbesar hati akhirnya dapat melihat perkara ini menjadi salah satu isu yang dipersetujui oleh kedua belah pihak dalam MOU CSR.
Terdapat juga satu perkara yang amat penting dalam MOU CSR tersebut -- kebebasan pihak kehakiman.
Saya percaya, jaminan kebebasan sistem kehakiman ini sahaja sekalipun telah membantu menegaskan komitmen terhadap masyarakat Malaysia yang berpegang kepada prinsip perlembagaan dengan kebebasan sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
Perkara ini semestinya akan melibatkan pelbagai usaha, kita mulakan usaha-usaha ini dengan MOU CSR, dan Jawatankuasa Pemandu memorandum CSR yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan memorandum ini akan berhadapan dengan cabaran yang besar untuk mencari cara yang kreatif untuk meletakkan negara kita ke arah menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia.