Tiga harapan untuk Hari Malaysia ke-58 pada 16.9.2021

Saya mempunyai tiga harapan untuk Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.

Pertamanya, apabila kita menyambut Hari Malaysia ke-59 dalam tempoh 12 bulan lagi pada 16 September 2022, tidak ada sebarang keraguan bahawa kita telah memenangi perang melawan wabak Covid-19.

Semasa kita menyambut Hari Malaysia ke-57 pada 16 September 2020, kita mencatatkan 10,031 kes Covid-19 dan 128 kematian akibat wabak ini. Dalam 12 bulan yang lepas, angka ini telah meningkat kepada dua juta kes Covid-19 -- dengan angka kes baharu kita yang lebih tinggi berbanding dengan jumlah kes terkumpul pada Hari Malaysia ke-57 -- dan lebih daripada 22,000 kematian akibat Covid-19.

Dalam bulan Ogos yang lepas sahaja, kes Covid-19 meningkat sebanyak 632,982 kes dan kematian bertambah sebanyak 7,640 kematian.

Pertukaran Perdana Menteri daripada Muhyiddin Yassin ke Ismail Sabri masih belum menunjukkan penurunan kadar kes dan kematian akibat Covid-19. Malah, 16 hari pertama bulan September mencatatkan lebih daripada 300,000 kes dan 6,500 kematian!

Menjelang Hari Malaysia ke-59 kelak pada 16 September 2022, kita perlu menurunkan kadar kes harian ini ke julat dua angka dan memastikan kadar kematian berada dalam julat satu angka, dan terus berusaha menurunkan kedudukan Malaysia daripada tempat ke-21 dengan jumlah tertinggi kes terkumpul di dunia ke kedudukan di sekitar tempat ke-100 di dunia.

Ini bukan satu sasaran yang mustahil, memandangkan China, yang mempunyai 44 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding dengan Malaysia, telah jatuh daripada kedudukan teratas sekali ke tempat ke-109 hari ini.

Harapan kedua saya adalah supaya Kabinet mengambil kedudukan yang jelas mengenai tindakan Peguam Negara bagi pihak Kementerian Dalam Negeri yang membuat rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada anak kelahiran warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara dan supaya Kabinet mengarahkan Peguam Negara untuk menarik semula rayuan tersebut.

Sekumpulan 13 orang Ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang telah bekerjasama untuk meminta campur tangan Perdana Menteri, Ismail Sabri mengenai perkara ini.

Jadikan rayuan 13 orang Ahli Parlimen ini satu suara Parlimen memandangkan memang sudah tiba masanya untuk Malaysia mengekori jejak langkah antarabangsa dalam hal hak asasi manusia, atau masukkan dalam perbahasan menjunjung kasih untuk mendesak Peguam Negara menarik semula permohonan rayuan tersebut.

Harapan ketiga saya adalah supaya sebutan mengenai usaha kepada pengukuhan pelaksanaan MA63 dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan ini membawa kepada pembentangan kertas dasar mengenai perkara ini di Parlimen semasa persidangan Belanjawan bulan hadapan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri