Memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Ismail Sabri dan Pakatan Harapan adalah dokumen politik yang paling penting dalam sejarah selepas daripada penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
Memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Ismail Sabri dan Pakatan Harapan adalah dokumen politik yang paling penting dalam sejarah selepas daripada penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Persoalan yang lebih penting sekarang adalah, mengapakah memorandum persefahaman seperti ini tidak dirangka lebih awal lagi dalam sejarah negara sebelum ini.
Terdapat dua sebab:
Pertamanya, gabungan Barisan Nasional yang diketuai UMNO yang memerintah negara selama setengah abad daripada tahun 70-an sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 terlalu kuat dan bersifat hegemonik.
Kedua, ancaman kepada kehidupan yang dibawa oleh wabak Covid-19 dalam 21 bulan yang lepas.
Semasa Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, terdapat 29 kes Covid-19 dan sifar kematian akibat wabak ini.
Tetapi, apabila negara kita menyambut ulang tahun ke-58 Hari Malaysia esok pada 16 September 2021, kita telah mencatatkan lebih daripada 2 juta kes jangkitan dan lebih daripada 22,000 kematian akibat Covid-19 -- menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak ini.
Semasa kita menyambut Hari Malaysia ke-57 tahun lepas, kita berada di tempat ke-89 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia.
Kita telah mengatasi kedudukan 68 negara lain dalam 12 bulan yang lepas dan kini berada di tempat ke-21 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi.
Sekiranya keadaan semasa ini berterusan, kita bakal melepasi paras tiga juta kes Covid-19 menjelang hujung bulan Oktober, berada di tempat ke-16 di dunia -- dan juga melepasi paras 30,000 kematian akibat Covid-19.
Perkara ini bukanlah satu benda yang kita mahukan sebagai rakyat Malaysia -- seperti mana juga kita tidak mahu digelar sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara gagal.
Rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 supaya kita boleh memulakan usaha pemulihan ekonomi dan sosial dan juga mengembalikan kehidupan normal.
Ini adalah antara sebab-sebab utama mengapakan memorandum persefahaman CSR di antara Perdana Menteri, Ismail Sabri, dan parti-parti Pakatan Harapan dipersetujui -- untuk memenangi perang melawan Covid-19, mengukuhkan dan menerapkan nilai demokrasi, dan membuka jalan untuk pemulihan negara dan kehidupan normal.
Kita perlu mempunyai stamina dan kecekalan untuk terus membawa perubahan politik yang lebih baik di Malaysia.
Empat puluh tahun yang lepas, pada 21 Mac 1978, saya telah bawakan satu usul persendirian di Parlimen untuk membentangkan undang-undang anti-lompat parti untuk menyekat rasuah politik dan mempertahankan integriti Parlimen. Lima puluh tahun yang lepas pada tahun 1971, saya telah bangkitkan di Parlimen supaya had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
Kini, saya sudah berumur 80 tahun, dan saya berbesar hati melihat reformasi yang saya perjuangkan setengah abad yang lalu akhirnya menjadi kenyataan.
Mari kita perhatikan, parti politik manakah yang akan meletakkan jumlah calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berusia di antara 18 ke 21 yang paling ramai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
DAP dan Pakatan Harapan sentiasa memperjuangkan perubahan yang demokratik untuk negara dan bukannya agenda peribadi dan perkara ini adalah satu contoh yang jelas.
Pemimpin dan aktivis DAP perlu memimpin pendapat masyarakat yang bahawa negara kita memerlukan moratorium dan gencatan politik untuk tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 supaya kita boleh fokus untuk memenangi perang melawan Covid-19 dan menetapkan semula negara kita ke arah pemulihan ekonomi, kehidupan sosial dan kembali normal.
Sekiranya tidak ada memorandum persefahaman CSR ini, Ismail Sabri mungkin telah kalah dalam undian pertama beliau di Parlimen untuk menentukan pelantikan Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat pada hari pertama perbahasan pada Selasa lepas dan beliau mungkin akan mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri dengan penggal terpendek -- lebih pendek daripada penggal 17 bulan Muhyiddin Yassin.
Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk plot dan komplot politik, sebaliknya kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu dan bekerjasama, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik, untuk menamatkan gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia yang telah menjangkiti lebih daripada dua juta orang dan mengorbankan lebih daripada 22,000 nyawa di Malaysia, terutamanya apabila mana-mana Perdana Menteri ke-10 yang akan dilantik melalui plot dan komplot itu bukannya Anwar Ibrahim.
Kita masih mempunyai perbezaan kritikal dengan parti-parti kerajaan, mengenai hal demokrasi berperlembagaan dan Rukun Negara, berkenaan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, penghormatan kepada hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan berpendapat, ketidaksamaan taraf ekonomi, sosial, dan akses kepada pendidikan, masa hadapan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia, dan bagaimana untuk kita menyatukan pelbagai kaum, agama, kawasan, dan budaya di Malaysia.
Tetapi, perbezaan ini perlu menunggu masa yang sesuai kerana kita berhadapan dengan ancaman besar Covid-19.
Persamaan kita semua, sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, perlulah diketengahkan dan keutamaan bersama kita semua mestilah untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 untuk memastikan adanya masa hadapan yang selamat untuk kita semua.
Inilah ujian terbesar dalam membuktikan cinta seseorang itu kepada negara dan rakyat Malaysia.