Mari kita bekerjasama untuk mengakhiri gelombang Covid-19 terpanjang di dunia yang telah mengakibatkan dua juta jangkitan Covid-19 dan sekitar 22,000 kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia -- bukannya menghabiskan 10 hingga 18 bulan akan datang untuk melakukan komplot politik dan menyusun plot -- Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri Ke-10 dengan cara sebegitu
Pakatan Harapan telah menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Perdana Menteri Ke-9, Ismail Sabri.
Mari kita bekerjasama untuk mengakhiri gelombang Covid-19 terpanjang di dunia yang telah mengakibatkan dua juta jangkitan Covid-19 dan sekitar 22,000 kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia -- bukannya menghabiskan 10 hingga 18 bulan akan datang untuk melakukan komplot politik dan menyusun plot -- Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri Ke-10 dengan cara sebegitu.
Dalam masa dua hari lagi, kita akan menyambut Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021.
Pada Hari Malaysia ke-57 pada 16 September 2020, terdapat 10,031 kes terkumpul Covid-19 dan 128 kematian akibat wabak itu. Dalam tempoh 12 bulan lalu, kes Covid-19 telah meningkat lebih 200 kali ganda kepada lebih dua juta kes, sementara kes kematian akibat Covid-19 telah meningkat hampir 170 kali ganda kepada hampir 22,000 kes.
Kita tidak mahu kadar kenaikan sepesat ini berterusan selama 12 bulan akan datang atau kita akan melihat angka kes jangkitan Covid-19 melebihi jumlah populasi Malaysia dan jumlah kes kematian yang lebih membimbangkan dengan lebih tiga juta kes kematian akibat Covid-19 pada Hari Malaysia ke-59 pada 16 September 2022.
Kerosakan dan kehancuran terhadap kehidupan dan mata pencarian, malah ekonomi negara harus dihentikan, agar Malaysia dapat memulakan pemulihan ekonomi, sosial dan negara.
Menjelang Hari Malaysia berikutnya pada 16 September 2022, Malaysia harus menuju ke arah pemulihan untuk kembali kepada kehidupan normal.
Sekiranya rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik dapat mengetepikan perbezaan dan bersatu untuk mengakhiri wabak Covid-19, ada kemungkinan kita akan memperoleh kejayaan.
Sekiranya kita terus membiarkan perbezaan kita lebih diutamakan daripada pandemik Covid-19, maka kita akan terus menuju ke arah negara yang gagal.
Malaysia mampu melakukan perkara yang lebih baik.
Kita tidak mahu menjadi kleptokrasi atau kakistokrasi.
Kita mahu menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau dalam kata-kata Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman enam dekad yang lalu, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu".
Tetapi kita tidak boleh menjadi "sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu" jika kita tidak dapat memenangi perang melawan Covid-19 dan tidak dapat melepaskan diri daripada gelombang Covid-19 terpanjang di dunia yang berlarutan sejak September lalu, yang telah mengakibatkan lebih dua juta kes jangkitan Covid-19 dan kira-kira 22,000 kes kematian akibat Covid-19 sejak 12 bulan yang lalu!
Inilah masanya rakyat Malaysia menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia dapat melakukan yang lebih baik.