Memorandum persefahaman di antara pihak pembangkang dan kerajaan adalah satu detik bersejarah dan menjadi satu ujian kritikal untuk menentukan sama ada semua rakyat Malaysia dapat bersatu untuk berhadapan dengan ancaman kepada kehidupan kita dan mengubah arah kegagalan perang 21 bulan melawan Covid-19
Memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara pihak pembangkang dan kerajaan adalah satu detik bersejarah dan menjadi satu ujian kritikal untuk menentukan sama ada semua rakyat Malaysia dapat bersatu untuk berhadapan dengan ancaman kepada kehidupan kita dan mengubah arah kegagalan perang 21 bulan melawan Covid-19.
Semua perbezaan akan diketepikan dahulu dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang mengancam kehidupan dan kewujudan kita, yang telah mengorbankan tujuh kali ganda lebih ramai orang di Malaysia berbanding dengan tragedi 9/11 di AS, dengan hampir 21,000 orang terkorban akibat wabak ini dalam tempoh 21 bulan yang lepas.
Kita perlu letakkan moratorium ke atas semua perbezaan kita sehingga pilihan raya umum yang akan datang dalam tempoh 10 ke 18 dari sekarang untuk bersatu padu dan menumpukan usaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19.
Kita perlu berikan rakyat Malaysia harapan dan keyakinan yang kita semua boleh ketepikan perbezaan kita dalam tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini dan menetapkan semula struktur institusi negara dan Parlimen untuk membolehkan permulaan baharu negara kita sebagai negara berkelas dunia.
Namun, masih ada garis merah yang tidak boleh dicabuli oleh kedua-dua belah pihak.
Penganalisis dan pengulas politik yang melihat persefahaman CSR ini sebagai kehilangan Pembangkang yang berwibawa di Malaysia telah lupa untuk melihat kepada sejarah, yang penuh dengan contoh-contoh keperluan untuk bersatu apabila berhadapan dengan musuh yang membawa maut, sama ada dalam contoh seperti, Barisan Bersatu Mao Tse-Tung/Chiang Kai Shek dalam melawan pihak Jepun, atau Kerajaan Perpaduan Winston Churchill/Clement Attlee melawan Nazi Jerman pimpinan Hitler.
Churchill telah mengutuk keras Parti Buruh Attlee sebagai sosialis, tetapi apabila Britain berhadapan dengan ancaman bahaya, Churchill dan Attlee bukan sahaja membentuk kerajaan perpaduan, tetapi mereka juga membentuk pakatan dengan Stalin dari Kesatuan Soviet untuk menentang Hitler.
Penting untuk diingati, semasa majlis pengebumian Winston Churchill, salah seorang pengiring keranda beliau adalah Clement Attlee, Timbalan Perdana Menteri beliau semasa perang, yang menegaskan beliau mahu melaksanakan penghormatan terakhir tersebut walaupun tidak beberapa sihat.
Diletakkan bersama dalam waktu kelam tahun 1940, kedua mereka ini membentuk pakatan merentasi parti politik yang menyelamatkan negara mereka daripada kejahatan Nazisme, dan selepas Hitler ditewaskan, mereka bertanding melawan satu sama lain di peti undi untuk memimpin Britain pasca Perang Dunia. Persepakatan waktu perang selama lima tahun di antara dua pemimpin, yang disusuli dengan sedekad persaingan waktu aman di antara mereka berdua.
Di Malaysia, kita belum ke arah sejauh itu. Pihak pembangkang belum membentuk kerajaan pakatan atau perpaduan dengan pihak parti kerajaan.
Apa yang kita telah lakukan adalah memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang untuk mencapai dua objektif, iaitu:
- Mengutamakan, dalam tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, usaha memenangi perang yang tidak dapat dilihat, dalam melawan wabak Covid-19 yang merupakan satu ancaman terhadap kelangsungan negara kita yang telah mengumpulkan dua juta kes jangkitan dan mengorbankan 21,000 nyawa dalam 21 bulan yang lepas; dan
- Menetapkan semula reformasi institusi negara dan Parlimen supaya negara kita dapat memulakan pemulihan ekonomi, kehidupan sosial, dan negara kita untuk menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan rakyat.
Kita masih mempunyai perbezaan kritikal dengan parti-parti kerajaan, mengenai hal demokrasi berperlembagaan dan Rukun Negara, berkenaan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, penghormatan kepada hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan berpendapat, ketidaksamaan taraf ekonomi, sosial, dan akses kepada pendidikan, masa hadapan Malaysia sebagai negara hebat bertaraf dunia, dan bagaimana untuk kita menyatukan pelbagai kaum, agama, kawasan, dan budaya di Malaysia.
Tetapi, perbezaan ini perlu menunggu masa yang sesuai kerana kita berhadapan dengan ancaman besar Covid-19.
Kita punya persamaan, sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, perlulah diketengahkan dan keutamaan bersama kita semua mestilah untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 untuk memastikan adanya masa hadapan yang selamat untuk kita semua.