Adakah kejayaan bersejarah perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen untuk membolehkan negara memberikan tumpuan penuh kepada usaha melawan wabak Covid-19 sehingga pilihan raya umum akan datang merupakan suatu matlamat yang mustahil untuk dicapai?

Mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata bahawa tahun 2022 adalah tahun pemulihan bagi Malaysia.

Ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan dan pengumuman sebegitu. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan dengan nada serupa sewaktu menjadi Perdana Menteri kelapan yang akhirnya terbukti hanya cakap kosong.

Sebagai contoh, semasa Muhyiddin menyampaikan ucapan Tahun Baharu 2021 pada 31 Disember 2020, beliau antara lain menyentuh mengenai lima keutamaan strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid.

Keutamaan pertama adalah untuk “mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara” yang mana telah gagal mencapai matlamatnya berdasarkan data-data Covid-19 yang direkodkan sejak sembilan bulan yang lalu.

Malaysia memulakan tahun baru 2021 dengan 2,064 kes Covid-19 dan 474 kematian akibat Covid-19, namun, kita kini mempunyai 1,919,774 kes terkumpul Covid-19 dan 19,486 kematian terkumpul akibat Covid-19 (peningkatan yang luar biasa -- 930 kali ganda untuk jumlah kes jangkitan dan lebih 41 kali ganda untuk jumlah kematian).

Kita sebelum ini mencatatkan empat digit kes harian baharu Covid-19 dan satu digit kematian harian akibat Covid-19, tetapi sekarang kita merekodkan lima digit kes harian baharu Covid-19 dan tiga digit kes kematian harian akibat Covid-19.

Esok, kita akan mengatasi Iraq untuk berada di kedudukan ke-22 antara negara-negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi, dan mengatasi Belanda pada hari Ahad untuk berada di kedudukan ke-21 di dunia -- sedangkan kita pernah berada di kedudukan ke-55 pada awal tahun, prestasi yang lemah dan amat memalukan -- dan mungkin menjadi antara negara yang mengalami gelombang Covid-19 paling lama di dunia sejak September tahun lalu.

Semalam, kita berada di kedudukan ke-7 teratas dalam kategori kes harian baharu Covid-19 dan kes kematian harian.

Keutamaan kedua Muhyiddin untuk “memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)” telah digagalkan oleh tindakan tidak berperlembagaan pentadbiran beliau yang menggantung Parlimen selama enam bulan semasa darurat berkuatkuasa dan sehingga kini RMK-12 masih belum dibentangkan di Parlimen.

Keutamaan ketiga Muhyiddin untuk “memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan” juga gagal selepas pencapaian terbaik negara dalam tempoh 25 tahun dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) musnah pada tahun 2020 selepas mata yang diperoleh negara merudum dari 53 mata kepada 51 dan jatuh dari tangga ke-51 ke tangga ke-57 -- kita mungkin bakal mengulang prestasi terburuk ini dalam CPI TI 2021 pada Januari 2022.

Keutamaan keempat yang digariskan Muhyiddin untuk “menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat” juga tidak kesampaian selepas Indeks Ketahan Covid yang dikeluarkan Bloomberg untuk bulan Ogos meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot antara negara-negara dengan nilai ekonomi melebihi AS$200 bilion berbanding kedudukan ke-16 -- yang merupakan kedudukan terbaik negara setakat ini -- pada Januari 2021.

Keutamaan kelima Muhyiddin untuk “memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman” dilihat tidak masuk akal kerana kerajaan Muhyiddin ketika itu dibentuk menerusi konspirasi Langkah Sheraton yang tidak beretika.

Saya telah berkata sebelum ini kemungkinan untuk melihat peristiwa bersejarah di mana pihak kerajaan dan pembangkang untuk melaksanakan perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi bakal hancur lebur selepas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri tidak diletakkan dalam agenda aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat minggu depan.

Perjanjian bersejarah itu turut berdepan kegagalan selepas kerajaan membuat keputusan sepihak dalam melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara kerana perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi itu sepatutnya mengambil semangat dan pendekatan rundingan dalam usaha untuk memenangi perang melawan Covid-19.

Kini, terdapat cakap-cakap yang mengatakan seorang mantan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengubah Malaysia kepada kleptokrasi akan dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

Nampaknya kemungkinan adanya kejayaan bersejarah dalam membentuk perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen sehingga semua rakyat Malaysia dapat memberikan tumpuan tunggal untuk memenangi perang melawan Covid-19 hingga Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan dapat dicapai.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri