Seruan untuk Khairy mengarahkan hospitalisasi pesakit Covid-19 Kategori 3 dan juga mereka dengan komorbiditi seperti obesiti, darah tinggi, diabetes, strok dan kanser dan juga untuk membina lebih banyak hospital lapangan oleh pihak tentera

Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, perlu mendengar rayuan doktor-doktor di Hospital Pulau Pinang yang mahukan rancangan yang jelas untuk berhadapan dengan jumlah kes Covid-19 yang semakin bertambah seperti yang dilaporkan oleh portal Malay Mail Online (MMO).

MMO melaporkan yang kes Covid-19 yang bertambah pada kadar lebih daripada 1,000 kes sehari bermakna wad-wad hospital di Hospital Pulau Pinang kini berada hampir di kapasiti penuh, memerlukan doktor untuk mendapatkan garis panduan untuk menguruskan lebihan pesakit ini.

Sesetengah fasiliti di hospital telah diubah menjadi wad Covid-19 dan unit rawatan rapi (ICU), termasuklah kompleks pembedahan am yang mengandungi kira-kira sembilan ke sepuluh unit bilik pembedahan.

Pengubahan bilik pembedahan ini bermakna semua pembedahan bukan berkaitan Covid-19 telah dipindahkan ke bilik pembedahan yang lebih kecil, yang sebelum ini digunakan untuk pembedahan berskala kecil.

Semua pembedahan utama melibatkan kecederaan serius akibat kemalangan, pembuangan tumor untuk pesakit kanser, pembedahan jantung, atau pembedahan caesarean kecemasan kini dijalankan di bilik bedah yang lebih kecil, membawa kepada kesesakan.

“Kami bukan sahaja berhadapan dengan kekurangan ruang fizikal, tetapi kami juga berhadapan dengan kekurangan sumber juga memandangkan ramai kakitangan terlibat dengan usaha membantu wad Covid-19” kata seorang doktor bedah.

Terdapat sejumlah 304 kes Covid-19 melibatkan kakitangan hospital di antara bulan Januari sehingga Ogos tahun ini, dengan kebanyakan kes di bulan Ogos.

Pada bulan Ogos sahaja, 208 orang staf dijangkiti Covid-19.

Menurut doktor bedah tersebut, laporan terkini menunjukkan yang 17 orang kakitangan bilik bedah telah disahkan positif Covid-19.

Tiga orang pesakit yang sedang pulih selepas pembedahan yang berjaya juga telah dijangkiti Covid-19.

Situasinya kini amat genting, dengan pasukan bedah sentiasa bimbang mengenai keselamatan mereka dan pesakit mereka.

Khairy perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Hospital Pulau Pinang dan hospital-hospital lain akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 ini.

Beliau perlu memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah kematian dan kematian dibawa ke hospital akibat Covid-19 yang tinggi.

Dalam sembilan hari pertama sebagai Menteri Kesihatan baharu pada 30 Ogos, lima negeri mencatatkan angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi, iaitu Selangor (980 kematian), Johor (413), Sabah (327) dan Pulau Pinang (227) dan Kedah (202).

Dalam tujuh hari pertama Khairy sebagai Menteri Kesihatan, terdapat 600 kematian BID akibat Covid-19 berbanding 413 kes tujuh hari sebelumnya.

Data Covid-19 harian masih suram kerana tidak ada tanda-tanda beralih ke arah penurunan jumlah kes jangkitan harian atau kes kematian harian Covid-19.

18,547 kes baharu dan 311 kematian akibat Covid-19 (dengan 93 kematian BID Covid-19) yang dicatatkan semalam masih terlalu tinggi, menjadikan Malaysia antara Sepuluh negara teratas di dunia dalam kedua-dua kategori sejak Ogos.

Semalam kita berada di tempat ke-6 dan ke-8 dengan jumlah kes baharu dan kematian akibat Covid-19 tertinggi di dunia.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Khairy adalah untuk memastikan Malaysia tidak lagi tergolong dalam 10 negara teratas dengan jumlah kes baharu dan kematian harian ini.

Trend peningkatan kematian BID Covid-19 sejak Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan ini agak merunsingkan. Dalam tujuh hari pertama Khairy sebagai Menteri Kesihatan, terdapat 600 kematian BID Covid-19 berbanding tujuh hari sebelumnya di mana terdapat 413 kes.

Dengan kenyataan beliau di Kota Kinabalu di pada hari Isnin, rakyat Malaysia sedang menantikan penjelasan beliau mengenai berapa banyakkah jenazah, mengikut negeri, yang masih belum didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan kerana menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Untuk membantu menyelesaikan masalah kematian dan kematian BID akibat Covid-19 yang tinggi, Khairy perlu mengarahkan hospitalisasi pesakit Covid-19 Kategori 3 dan juga mereka dengan komorbiditi seperti obesiti, darah tinggi, diabetes, strok dan kanser dan juga untuk membina lebih banyak hospital lapangan oleh pihak tentera.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri