Khairy perlu betul-betul memberikan jawapan mengenai mengapa kadar kematian dan kematian di luar hospital masih tinggi dan bukannya mengelak
Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, perlu betul-betul memberikan jawapan mengenai mengapa kadar kematian dan kematian di luar hospital masih tinggi dan bukannya mengelak.
Di Kota Kinabalu semalam, Khairy mengatakan yang angka kematian Covid-19 yang tinggi tidaklah menunjukkan angka kematian yang sebenar dalam tempoh 24 jam seperti yang dilaporkan.
Beliau menjelaskan yang angka ini kadang-kalanya berkumpul untuk beberapa hari memandangkan pihak berkuasa memerlukan masa untuk mengesahkan punca kematian, terutamanya di tempat seperti Lembah Klang yang mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi.
Beliau berkata: “Jumlah kematian yang kita laporkan setiap hari itu bukanlah jumlah kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas. Terdapat banyak 'backlog' kes kematian... sebab kita perlu dapatkan pengesahan sama ada si mati betul-betul mati akibat Covid-19 atau tidak.”
Khairy mengatakan yang kebanyakan ‘backlog’ ini adalah kerana jumlah kematian yang dibawa ke hospital (BID) yang perlu disiasat punca kematiannya sebelum mereka boleh dilaporkan dalam sebahagian daripada statistik Covid-19.
“Harapnya, kita akan dapat lihat penurunan kadar kematian dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi apabila kita selesai mengemas kini data 'backlog' kematian.”
Khairy mengatakan, kebanyakan kes-kes BID ini terdiri daripada pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah dan tidak dibawa ke hospital secepat mungkin apabila keadaan mereka semakin merosot.
Beliau mengatakan, kebanyakan pesakit Covid-19 diberitahu untuk mengasingkan diri mereka dan memerhati keadaan mereka di rumah dan hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan mereka bertambah buruk.
“Tanpa penyeliaan yang betul, sudah terlalu lambat apabila mereka dihantar ke hospital.”
Saya bertanya kepada seorang pengamal perubatan, apa pandangan beliau mengenai respons Khairy, berikut adalah jawapan beliau:
“Ringkasnya, punca-punca kes BID ini besar kemungkinan disebabkan oleh komunikasi yang tidak baik di antara penjaga dan pesakit, dan rawatan yang tidak mencukupi kepada mereka yang menjalani isolasi bersendirian.
“Pesakit, mungkin seorang yang berusia 65 tahun, diberitahu untuk kuarantin dalam bilik dengan telefon bimbit dan panadol.
“Apa yang akan berlegaran dalam fikirannya? Dia tahu yang Covid ini boleh membunuh. Jadi dia akan bertanya, mengapa tidak ada rawatan untuknya? Walaupun kita tidak mahu memberi Ivermectin, sekurang-kurangnya pesakit tersebut patut diberikan satu kit rawatan yang mempunyai vitamin D, C dan antibiotik.
“Semua ini adalah ubat yang telah menunjukkan boleh membantu membina imuniti dan melawan jangkitan sampingan. Kit rawatan itu boleh membantu menjadi jaminan yang pesakit itu ada harapan untuk sembuh. Kita perhatikan status pesakit, tetapi pada masa yang sama kita perlu berikan mereka harapan, harapan meneruskan kehidupan.
“Mereka yang sihat, di bawah umur 60 dengan jangkitan kategori 1 dan 2 mempunyai 90% kemungkinan untuk pulih sekiranya mereka tidak mempunyai komorbiti yang lain. Komorbiditi yang penting adalah obesiti, darah tinggi, diabetes, strok, dan kanser. Individu yang mempunyai komorbiditi ini, walaupun dalam kategori 1 dan 2, perlu dimasukkan ke hospital kerana mereka mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi.
“Backlog: Apabila si mati dibawa ke hospital, mereka lakukan ujian RTK-Ag dan sekiranya ujian ini didapati positif, si mati akan dikira sebagai mati akibat Covid-19. Perkara ini tidak sepatutnya mengambil masa lebih daripada 2 jam untuk mendapatkan hasil ujian. Adakah KJ cuba mengatakan yang setiap si mati yang dibawa ke hospital akan dibedah siasat? Bedah siasat mungkin mempunyai backlog, tetapi ujian RTK-Ag hanya akan memakan masa selama 2 jam. Tidak sepatutnya ada banyak backlog dan saya tidak percaya yang mereka buat bedah siasat untuk setiap kes BID.
“Sekiranya ada banyak backlog, adakah ianya disebabkan kegagalan menteri sebelumnya? Adakah KJ sedang cuba mengatakan yang menteri sebelum beliau tidak menjalankan kerja dengan baik dan KJ hanya sedang mengemas kini benda yang ditinggalkan? Tetapi KP Kesihatan masih orang yang sama. Tolong tanya KP mengapa ada backlog?
"Sekiranya terdapat backlog, berapa anggaran jumlahnya? Berapa banyak kematian yang terkumpul? Adakah perkara ini bermaksud kematian Covid kita sekarang hampir 30,000 dan bukannya 18,000?
“Kadar kematian kasar kita secara keseluruhan adalah 0.98% setakat ini. Tidak lama lagi kita akan mencapai 1%. Takkanlah susah sangat nak semak berapa ramai yang BID menggunakan ujian RTK-PCR?
"Kadar kematian kasar global pada masa ini adalah 2.06% sementara kadar kematian akibat Covid yang dianggarkan oleh pakar dari Stanford adalah kira-kira 0.15%. Adakah Malaysia akan mencipta rekod lagi?
"Komen KJ telah menimbulkan lebih banyak persoalan."
Mungkin Khairy boleh menjawap sesetengah persoalan yang dibangkitkan oleh pengamal perubatan ini.
Sejak Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos, terdapat 680 kes BID yang dicatatkan. Adakah Khairy mengatakan yang angka ini dikurang kira dan situasi sebenar adalah jauh lebih teruk -- menghampiri 1,000 kes BID?
Kita tunggukan penjelasan daripada Khairy mengenai perkara ini.
Data Covid-19 semalam adalah yang terbaik sejak daripada hari Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan, memberikan harapan yang peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19 ini akhirnya dapat dikawal, walaupun perkara ini masih belum kukuh.
Jumlah kes harian semalam telah turun kepada 17,352 kes, walaupun negara kita mencatatkan lebih daripada 20,000 kes untuk 20 hari yang lepas sejak 5 Ogos, dan angka semalam adalah angka yang paling rendah sejak 10 Ogos. Kita perlukan lebih banyak bukti untuk mengatakan yang peningkatan kes Covid-19 sudah berakhir memandangkan semalam hanyalah hari kedua kes harian berada dalam julat 17,000 kes sejak 10 Ogos.
Tetapi apa yang Khairy perlu ingat adalah Indonesia telah berterusan berada dalam trend penurunan kes harian Covid-19, mencatatkan 4,416 kes semalam -- satu per empat daripada angka kes di Malaysia.
Dalam gelombang penularan semasa, Indonesia telah mencapai kemuncak 56,757 kes baharu pada 15 Julai, dan kini telah turun kepada 4,416 kes, tahap yang sama yang disaksikan tiga bulan setengah yang lepas. Malaysia pula sedang berhadapan dengan gelombang penularan terpanjang di dunia sejak daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September tahun lepas.
Mungkin Malaysia perlu hantar perwakilan ke Indonesia dan belajar daripada mereka.
Walaupun kadar kematian Covid-19 semalam lebih rendah daripada India -- 272 kematian di Malaysia berbanding dengan 290 di India -- perkara ini masih membimbangkan memandangkan perbezaan jumlah penduduk di antara dua negara ini.
Inilah persoalan-persoalan mengenai wabak Covid-19 yang menunggu penjelasan daripada Menteri Kesihatan baharu kita.