Ismail Sabri telah menjejaskan kemungkinan untuk mencapai persetujuan bersejarah membentuk perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi yang bersejarah di antara pihak kerajaan dan pembangkang

Saya tidak pernah menjangkakan yang saya akan memuji dan kemudiannya mengutuk perbuatan Perdana Menteri dalam hari yang sama.

Itulah yang berlaku pada hari Sabtu lepas.

Pada pagi hari Sabtu, saya telah memuji Perdana Menteri ke sembilan, Ismail Sabri, kerana ciapan beliau yang mengatakan “Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang” berkenaan dengan kes kematian penjaga keselamatan Thava Sagayam -- yang telah diserang di sebuah kondominium di Ipoh pada bulan Disember lepas kerana enggan membenarkan penggunaan kolam renang kondominium tersebut yang ditutup -- dan saya katakan “perkara ini meningkatkan keyakinan bahawa Perdana Menteri akan mempertegakkan kedaulatan undang-undang dan prinsip tadbir urus yang baik serta menambah cerah kemungkinan berlakunya perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi di antara pihak kerajaan dan pembangkang”.

Tetapi, pada petang yang sama, saya perlu mengutuk perbuatan Ismail Sabri dan meminta Perdana Menteri baharu tersebut menjelaskan sama ada beliau akan mengabaikan titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk mengadakan undi percaya terhadap kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri apabila Parlimen bersidang semula pada 14 September, sambil memberikan pendapat mengenai kenyataan tidak masuk akal oleh Peguam Negara, Idris Harun, yang mengatakan undi percaya ini merendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong.

Ini adalah kesilapan serius terkini yang Ismail Sabri telah lakukan selepas menjadi Perdana Menteri ke sembilan.

Dalam masa sehari, Perdana Menteri telah berubah daripada memungkinkan kepada merosakkan kemungkinan berlakunya sejarah politik dengan kerajaan dan pembangkang mencapai perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi dan membawa masuk era gencatan senjata politik untuk tempoh 12 ke 18 bulan yang akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 supaya semua orang, sama ada kerajaan, pembangkang, dan juga rakyat, dapat menumpukan semua usaha kita ke arah memenangi perang melawan wabak Covid-19 sambil melaksanakan reformasi parlimen dan institusi negara.

Yang di Pertuan Agong telah bertitah pada 18 Ogos bahawa Perdana Menteri baharu perlulah berhadapan dengan undi percaya di Parlimen secepat mungkin untuk menentukan keabsahannya, dan bahawa Ahli-ahli Parlimen perlu bekerjasama untuk menumpukan usaha kepada melawan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi dan bahawa “yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.”

Amatlah malang sekiranya Perdana Menteri baharu sendiri yang sedang cuba menggagalkan usaha untuk pihak kerajaan dan pembangkang mencapai persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi yang selari dengan titah Baginda Yang di Pertuan Agong.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri