Harapan kian cerah untuk melihat persetujuan antara kerajaan dan pembangkang bagi melaksanakan perjanjian sokongan dan perbekalan (CSA) supaya tumpuan tidak berbelah bahagi dapat diberikan dalam usaha membendung wabak Covid-19 menerusi pembaharuan institusi dan Parlimen

Berdasarkan kenyataan dua Menteri iaitu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang juga merupakan setiausaha agung Bersatu dan Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, harapan kian cerah untuk melihat persetujuan antara kerajaan dan pembangkang bagi melaksanakan perjanjian sokongan dan perbekalan (CSA) supaya tumpuan tidak berbelah bahagi dapat diberikan dalam usaha membendung wabak Covid-19 menerusi pembaharuan institusi dan Parlimen

Hamzah berkata, Bersatu dijangka bersetuju sekiranya kerajaan melaksanakan CSA antara parti politik dalam negara ini bagi mewujudkan sebuah “landskap baru politik” yang mampu membawa kestabilan kepada negara.

Ini juga bagi membolehkan semua parti-parti politik untuk menjujung titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar semua ahli politik bekerjasama dan menguruskan wabak Covid-19 sebagai satu pasukan.

Saifuddin menyeru gencatan politik antara kerajaan dan pembangkang untuk memastikan Malaysia dapat menumpukan perhatian membendung wabak Covid-19 dan menghidupkan kembali ekonomi.

Katanya: "Waktu bertenang ini juga perlu untuk kita buat penetapan semula selepas kita mengadu dengan pelbagai perkara. Saya secara peribadi merasakan bahawa kita perlu set semula sistem, di mana ia mampu menyelesaikan banyak perkara.”

“Ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ahli Dewan Rakyat mengurangkan pergeseran dan pertelingkahan politik.”

Saya menyokong idea persefahaman CSA antara kerajaan dan pembangkang.

Malah, sejak lebih dua bulan yang lalu, pada 17 Jun, telah saya mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap usaha bagi memenangi perang melawan wabak Covid-19 serta memastikan kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia tidak melepasi paras 5,000.

Kenyataan itu merupakan maklum balas saya terhadap mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung sehari sebelum itu. Saya juga menyatakan bahawa mesyuarat tersebut telah membuka jalan untuk negara merintis permulaan baharu dalam perang melawan wabak Covid-19, yang mana telah meninggalkan kesan yang maha dahsyat terhadap kehidupan, ekonomi dan masyarakat di Malaysia, dengan jumlah terkumpul kes Covid-19 ketika itu dicatatkan sebanyak 673,025 sementara 4,1412 orang pula telah terkorban akibat wabak itu.

Saya menyeru pelaksanaan moratorium politik supaya negara dapat memberikan tumpuan tunggal untuk mengatasi “ancaman eksistensial” akibat daripada penularan wabak Covid-19.

Saya juga menyeru pembaharuan Parlimen dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

Saya berkata: “Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 - dan ini harus menjadi fokus utama negara, tidak kira dalam tempoh setahun atau dua tahun.

“Benarkan semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan kita mempunyai mentaliti seolah-olah negara sedang berperang serta bersatu menentang musuh bersama yang membunuh rakyat Malaysia setiap hari dan mengancam untuk memusnahkan fabrik sosial masyarakat Malaysia.”

Idea moratorium politik yang diajukan saya pada 17 Jun itu mungkin terlalu terkedepan, namun lihatlah kini, situasi telah bertambah buruk dan kita telah mengumpulkan 1,765,666 kes Covid-19 dan 16,942 orang telah terkorban akibat wabak berkenaan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri