Kes pembunuhan Thava akan menjadi salah satu lagi ujian kepada komitmen Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri, terhadap kedaulatan undang-undang dan penamatan sistem Dua Darjat di Malaysia

Kes pembunuhan pengawal keselamatan, Thava Segayam akan menjadi salah satu lagi ujian kepada komitmen Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri, terhadap kedaulatan undang-undang dan penamatan sistem Dua Darjat di Malaysia.

Tindakan pihak Polis yang mengkategorikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kematian beliau pada 27 Ogos memang berpatutan.

Seorang Ketua Cawangan Bersatu Kota Bharu yang telah menyerang Thava yang berusia 64 tahun yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh telah didakwa sebelum ini pada bulan Januari di bawah Seksyen 355 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Thava.

Tertuduh telah menyerang Thava, termasuklah dengan memukul beliau dengan sebuah meja, selepas beliau enggan membenarkan anak tertuduh untuk menggunakan kolam renang kondominium yang ditutup semasa itu.

Serangan tersebut menyebabkan Thava hilang kesedaran. Beliau meninggal dunia lapan bulan kemudian.

Saya bersetuju dengan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, yang perlunya ada keadilan untuk kematian Thava ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri