Di manakah rancangan 100 hari untuk memastikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos 2022 tidak lagi diselubungi wabak Covid-19?

Semasa menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan, Perdana Menteri ke-9, Ismail Sabri berkata beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan menjadi yang terakhir negara kita diselubungi wabak Covid-19.

Dua persoalan timbul: Pertama, di manakah pelan 100 hari untuk memastikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos 2022 tidak lagi diselubungi wabak Covid-19?

Terdapat banyak aspek berkaitan dasar, strategi dan pendekatan dalam perang melawan wabak Covid-19 selama 20 bulan yang harus diperbaharui dan salah satunya adalah dasar berkaitan komunikasi.

Saya telah mengajukan beberapa soalan kepada Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin antaranya tentang cara kerajaan mengemudi perang melawan Covid-19 sejak beberapa hari lalu, dan sehingga kini saya masih menantikan jawapan daripada beliau -- sama ada beliau boleh mengembalikan Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang kepada situasi semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di mana negara ini hanya merekodkan kes Covid-19 dua angka dan satu angka kes kematian akibat wabak ini, mengapa terdapat lonjakan dalam kes Covid-19 di Malaysia meskipun kadar vaksinasi meningkat dan mengapa Malaysia tewas kepada Indonesia sejak dua minggu lalu dengan merekodkan lebih banyak kes harian baharu Covid-19, sebagai contoh; kes baharu Covid-19 di Malaysia semalam adalah sebanyak 20,891 berbanding Indonesia (10,534).

Kedua, Ismail seolah-olah tidak sedar yang ia bukanlah dalam lingkungan kemampuan Malaysia untuk menentukan sama ada kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-65 dalam keadaan yang masih diselubungi wabak Covid-19, kerana keadaan itu bergantung kepada dua faktor: Prestasi Malaysia dalam perang melawan wabak Covid-19 dan juga prestasi global.

Malangnya, prestasi Malaysia dalam perang melawan wabak Covid-19 dalam tempoh setahun lalu amat bercelaru, dengan Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk seperti yang dapat dilihat dalam empat contoh berikut:

  1. Malaysia memintas 66 negara dengan memiliki jumlah terkumpul kes Covid-19 tertinggi untuk berada di kedudukan ke-23, sedangkan kita berada di kedudukan ke-89 pada 12 bulan yang lalu;
  2. Berada di kedudukan tercorot dalam carta ketahanan Covid-19 (Covid Resilience Ranking) Bloomberg daripada 54 negara dengan nilai ekonomi melebihi AS$200 bilion;
  3. Menewaskan semua negara ASEAN untuk kedua-dua kategori iaitu “jumlah kes persejuta penduduk” dan “kes harian baharu persejuta penduduk” seperti disiarkan di laman web “Our World in Data; dan
  4. Semalam, menjadi negara ke-7 dengan kes harian baharu Covid-19 tertinggi dan negara ke-9 dengan kes kematian harian baharu tertinggi.

Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 12 bulan yang lalu, kita mempunyai jumlah terkumpul kes Covid-19 sebanyak 9,340 dengan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak ini sebanyak 127.

Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-64 semalam, kita mempunyai 1,746,254 juta kes Covid-19 dan 16,664 kematian -- peningkatan yang amat dahsyat, sebanyak 187 kali ganda untuk jumlah kes terkumpul dan peningkatan sebanyak 130 kali ganda untuk jumlah kematian.

Pada kadar peningkatan 187 dan 130 kali ganda kadar jangkitan terkumpul dan kadar kematian terkumpul dalam 12 bulan yang lepas, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, kita akan menyaksikan 327 juta kes Covid-19 dan 2.2 juta kematian akibat wabak ini.

Kita akan meninggalkan Amerika Syarikat jauh di belakang, yang buat masa ini merupakan negara dengan jumlah kes tertinggi dengan kira-kira 40 juta kes terkumpul dan 657,520 kematian akibat Covid-19.

Namun, 327 juta kes terkumpul Covid-19 di Malaysia adalah satu perkara yang mustahil untuk berlaku, kita hanya mempunyai 32 juta orang penduduk -- tetapi perkara ini masih memberikan gambaran suram mengenai betapa teruknya pengendalian Covid-19 di Malaysia dalam tempoh 12 bulan yang lepas -- lebih-lebih lagi gambaran satu daripada 16 orang di Malaysia terkorban akibat Covid-19.

Prestasi Malaysia dalam menangani perang melawan Covid-19 begitu teruk untuk meninggalkan sebarang kesan yang ketara terhadap tahap prestasi di peringkat global.

Pakar epidemiologi, Larry Brilliant, yang merupakan sebahagian pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang membantu membasmi penyakit cacar, tidak berkongsi pendapat yang mengatakan bahawa pandemik Covid-19 akan berakhir tidak lama lagi.

Meskipun 39.5% populasi dunia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, hanya 1.7 peratus individu di negara pendapatan rendah telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Mengikut kadar semasa pemberian 41 juta does vaksin sehari, matlamat untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang tinggi dilihat masih jauh untuk dicapai.

Perang melawan wabak Covid-19 tidak boleh dimenangi oleh seseorang individu atau sesebuah negara secara bersendirian, kerana tiada yang selamat sehinggalah semua terselamat.

Kemajuan vaksinasi global kini terancam dengan kemunculan strain baharu coronavirus -- varian Delta yang lebih mudah merebak, yang dianggarkan 1,000 kali lebih kuat -- dan dalam minggu ini terdapat laporan tentang kemunculan varian baharu Covid di Afrika Selatan yang mana pertama kali dikesan pada bulan Mei, tetapi sehingga kini telah merebak di tujuh negara lain di rantau Afrika, Eropah, Asia dan Oceania sekaligus membangkitkan persoalan sama ada ia akan menjadi penyebar utama atau super-spreader.

Perkara ini telah berkembang menjadi semacam persaingan hidup dan mati antara vaksin dan virus-virus di dunia…

Meskipun Malaysia tidak dapat meninggalkan kesan positif terhadap prestasi global dalam menangani wabak Covid-19, kita tidak harus menjadi salah sebuah negara di dunia dengan prestasi terburuk dalam perang melawan pandemik Covid-19 -- dan kerana itulah pelan 100 hari untuk menguasai perang melawan pandemik Covid-19 harus menjadi perkara paling penting untuk diusahakan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri