Adakah Belanjawan 2022 yang terbesar dalam sejarah negara, akan memulihkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia yang terjejas sejak tahun lepas dengan Malaysia sebagai sebuah negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 dan berapa lamakah masa yang akan diambil untuk melihat pemulihan ini
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2022, yang dijangka akan menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah negara, di Parlimen petang ini.
Persoalannya: Adakah Belanjawan 2022 yang terbesar dalam sejarah negara, akan memulihkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia yang terjejas sejak tahun lepas dengan Malaysia sebagai sebuah negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 dan berapa lamakah masa yang akan diambil untuk melihat pemulihan ini?
Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322 bilion, yang dianggap sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara ketika itu, dengan slogan “Teguh Kita, Menang Bersama”, gagal untuk membawa keluar negara daripada kemelut ekonomi negara yang teruk terjejas akibat penularan wabak Covid-19.
Semasa Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Tengku Zafrul di bawah kerajaan Muhyiddin pada 6 November 2020, negara merekodkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 38,189 dengan 279 kematian. Semalam, jumlah tersebut masing-masing meningkat kepada 2,454,719 dan 28,769 -- peningkatan lebih 64 kali ganda untuk kes Covid-19 dan lebih 103 kali ganda untuk kes kematian dalam tempoh antara pembentangan Belanjawan 2021 dan Belanjawan 2022!
Semasa Memorandum Persefahaman (MoU) Kepercayaan-Perbekalan-Reformasi (CSR) ditandatangani antara Perdana Menteri, Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu and Wilfred Madius Tangau pada 13 September 2021, terdapat 1,995,772 kes terkumpul Covid-19 dengan 21,124 kematian.
Ini bermakna, di antara pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November dan peristiwa tandatangan MOU CSR pada 13 September 2021, berlaku peningkatan kira-kira 50% jumlah keseluruhan kes Covid-19 dan peningkatan kira-kira 75% untuk kes kematian akibat wabak itu, sementara untuk tempoh 45 hari antara hari MOU CSR ditandatangani kedua-dua pihak pada 13 September 2021 dan pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021, berlaku peningkatan sebanyak 1.2% dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 dan peningkatan sebanyak 1.4% dalam jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu.
Ini adalah satu sebab mengapa MOU CSR diperlukan -- untuk mengurangkan peningkatan mendadak dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 dari julat lima angka kepada julat empat angka dan untuk menurunkan angka kematian akibat wabak itu dari lebih 400 sehari ke bawah paras 100 kematian sehari.
Pun begitu, adakah kita mampu untuk kembali ke zaman pra-Darurat pada 11 Januari 2021 di mana kita merekodkan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 2,234 dengan empat kematian, atau lebih baik lagi, kembali ke masa Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November 2020 di mana kita merekodkan 1,755 kes Covid-19 dengan 2 kematian, akan menjadi ujian kepada Belanjawan 2022 ini!
Semalam, kita merekodkan 6,377 kes baharu Covid-19 dengan 95 kematian (termasuk 24 kematian di luar hospital, BID). Mampukah Belanjawan 2022 ini menurunkan jumlah kes harian Covid-19 kepada julat dua angka dan jumlah kes kematian harian akibat wabak itu kepada julat satu angka?