Tidak akan ada Operasi Lalang, Peristiwa Kampung Memali, skandal 1MDB, konspirasi Langkah Sheraton atau prestasi buruk Malaysia dalam menguruskan wabak Covid-19 jika konsep Keluarga Malaysia wujud sejak dahulu lagi
Pada hari yang sama, 34 tahun yang lepas, saya ditahan bersama-sama anak lelaki saya, Lim Guan Eng, dan ramai lagi rakan seperjuangan termasuklah Karpal Singh dan P. Patto hanya kerana memperjuangkan idea Impian Malaysia. Kami ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di bawah Operasi Lalang, saya dan Guan Eng adalah antara individu pertama yang ditahan tetapi yang paling terakhir dibebaskan pada bulan April 1989.
Namun untuk saya, kejadian ini sebenarnya adalah penahanan kedua saya di bawah ISA, dan penangkapan saya, genap 34 tahun yang lepas ini merupakan satu permulaan kepada penangkapan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa hari yang membawa kepada penangkapan lebih 110 mangsa.
Kini, Perdana Menteri, Ismail Sabri bercakap tentang konsep Keluarga Malaysia.
Bukan sahaja Operasi Lalang ini tidak akan berlaku sekiranya konsep Keluarga Malaysia ini telah wujud sejak dahulu lagi, tetapi, “titik-titik hitam” dalam sejarah Malaysia juga akan dapat dielakkan sekiranya konsep ini telah wujud dan dijiwai sejak awal lagi.
“Titik-titik hitam” ini adalah:
- Tidak akan berlaku rusuhan 13 Mei 1969 jika wujud Keluarga Malaysia.
- Menerusi semangat Keluarga Malaysia, setiap rakyat Malaysia pasti akan menerima lima prinsip Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan sebagai asas prinsip pembentukan negara.
- Tidak akan berlaku Insiden Memali pada November 1985 di mana 14 orang awam dan empat pegawai polis terkorban.
- Tidak akan berlaku skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), di mana Bank Bumiputera terpaksa diselamatkan (bail-out) selepas kerugian $2.5 bilion dalam skandal tersebut dan seorang pegawai audit Melayu dibunuh di Hong Kong.
- Tidak akan berlaku Skandal Matawang Asing Bank Negara di mana negara kehilangan RM30 bilion pada awal 90-an.
- Tidak akan berlaku skandal 1MDB, yang menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi. Hari ini dilaporkan bahawa mantan Perdana Menteri, Najib Razak telah membuat laporan terhadap mantan pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner -- yang mengaku bersalah di hadapan mahkamah Amerika Syarikat kerana memberi suapan kepada pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan Malaysia -- kepada SPRM bagi mendapatkan senarai nama pegawai di Malaysia yang telah diberikan suapan oleh Leisner.
- Semalam, Parlimen dimaklumkan bahawa daripada keseluruhan 992,764 penjawat awam, 75.95% daripadanya adalah orang Melayu (754,040), 7.38% adalah Bumiputera Sabah (73,265), 4.75% adalah Bumiputera Sarawak (47,116), 6.9% adalah orang Cina (68,542), 4.15% adalah India (41,168) dan 0.87% (8,634) adalah lain-lain.
- Dalam Keluarga Malaysia, tidak akan berlaku konspirasi Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan sah yang diundi menerusi proses demokrasi dan kemudiannya membawa masuk kerajaan pintu belakang, yang tidak demokratik dan tidak sah.
- Jika wujud Keluarga Malaysia, negara akan dapat memanfaatkan kedudukannya yang menjadi titik pertemuan empat tamadun hebat dunia -- Melayu-Islam, Cina, India dan Barat -- bagi menggunakan sehabis baik nilai-nilai murni yang boleh diambil daripada tamadun tersebut untuk dijadikan asas bagi membina sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan Malaysia juga tidak akan dipintas oleh negara-negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Singapura serta menunjukkan prestasi yang buruk dalam perang melawan wabak Covid-19, malah berisiko dipintas oleh Cambodia, Indonesia dan Filipina pada masa akan datang jika Malaysia tidak bangkit dari lenanya.
Dalam ucapan pertama saya di Parlimen pada 23 Februari 1971, saya menggesa diadakan siasatan terbuka bagi mencari punca tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969 dan mencadangkan pembentukan sebuah rangka tindakan (blueprint) bagi membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara dengan penduduk berbilang kaum yang adil dan saksama.
Namun cadangan ini tidak dilaksanakan. Setengah abad kemudian, saya tiba-tiba dituduh pula sebagai pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 meskipun pihak berkuasa sedar dan tahu bahawa saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu, sebaliknya berada di Kota Kinabalu semasa peristiwa tragis itu tercetus.
Bagaimanapun, perkara yang sebaliknya pula berlaku, pihak yang membelakangi Rukun Negara boleh ditemui dalam barisan Kabinet hari ini.
Namun untuk hampir dua tahun, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Najib langsung tidak peduli dengan litigasi terhadap kes kleptokrasi yang dijalankan Jabatan Kehakiman AS membabitkan 1MDB, di mana Najib dinamakan sebagai “Malaysia Official No. 1”.
Bolehkah Najib menjelaskan mengapa beliau tidak membersihkan namanya semasa seluruh dunia maklum bahawa beliau adalah “MO1” semasa beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri?
Dalam Keluarga Malaysia, komposisi etnik perkhidmatan awam harus mencerminkan komposisi etnik sebenar rakyat Malaysia -- yang mana 69% daripadanya adalah Bumiputera, 23% Cina, 7% India dan 1% lain-lain.
Adakah Ismail Sabri bersetuju, sebuah Keluarga Malaysia tidak akan membiarkan sepuluh perkara di atas berlaku?