Penantian menunggu penurunan kes Covid-19 ke paras di bawah 4,000 kes amatlah menyeksakan sedangkan Indonesia pula telah mencatatkan angka tiga digit selama 12 hari berturut-turut
Penantian menunggu penurunan kes Covid-19 ke paras di bawah 4,000 kes amatlah menyeksakan sedangkan Indonesia, yang mempunyai lapan kali ganda lebih ramai penduduk pula telah mencatatkan angka tiga digit selama 12 hari berturut-turut.
Perkara ini menjadi satu amaran keadaan semasa -- daya saing Malaysia yang semakin berkurangan berbanding dengan Indonesia, dan perapatan jurang dalam kebebasan berdemokrasi, kedaulatan undang-undang, dan tadbir urus yang baik di antara dua negara ini.
Malaysia mempunyai Rukun Negara, manakala Indonesia ada Pancasila -- mengapakah kedua negara ini kelihatan seperti berada di arah yang berbeza, di mana Indonesia mara ke hadapan sedangkan Malaysia mundur ke belakang?
Adakah perkara ini terjadi kerana Pancasila di Indonesia ini adalah satu dokumen yang hidup, sedangkan di Malaysia semakin ramai rakyat Malaysia, termasuklah Menteri sendiri yang enggan menerima prinsip pembinaan negara bangsa dalam Rukun Negara?
Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, perlu melihat prestasi tidak baik Malaysia berbanding dengan Indonesia dalam melawan wabak Covid-19 ini, di mana Indonesia hanya mencatatkan 611 kes baharu dengan 35 kematian akibat Covid-19 semalam, berbanding dengan 5,726 kes dan 84 kematian akibat Covid-19, termasuklah 20 kes kematian di bawa ke hospital (BID) di Malaysia.
Pada kadar semasa di mana kadar kes ini terus bergerak dalam julat pertengahan empat angka, tidak ada sesiapa pun yang berani menjangkakan bilakah angka ini akan turun ke tiga angka.
Perkara yang sama juga dilihat dari segi kematian, yang terus berada pada paras tinggi dua angka. Bilakah angka ini akan turun ke julat satu angka?
Selain itu, apakah yang telah dilakukan Khairy untuk menambah baik penurunan prestasi sistem kesihatan awam kita berbanding dengan Indonesia?
Adakah perkara ini akan ditunjukkan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada hari Jumaat ini?