Kementerian Kesihatan perlu menyediakan SOP untuk pilihan raya bagi keempat-empat fasa PPN, bukan hanya untuk satu fasa sahaja dan memastikan tidak berlaku amalan Dua Darjat dalam pelaksanaannya

Kementerian Kesihatan perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk pilihan raya bagi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Malaysia dan memastikan bahawa tiada amalan Dua Darjat dalam pelaksanaannya, bukannya dengan membuat keputusan membuta tuli untuk melarang sebarang majlis sosial dan perhimpuan yang berkenaan dengan pilihan raya negeri Melaka dari 25 Oktober hingga 27 November.

Meskipun rakyat Malaysia yang bertanggungjawab sentiasa sedar akan keperluan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat, wabak ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melarang sebarang perhimpunan dan majlis sosial yang sepatutnya boleh diadakan dengan pematuhan SOP.

Alasan yang diberikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa partinya sendiri gagal mematuhi SOP bukan sahaja suatu pengakuan terhadap tindak-tanduk partinya yang melanggar undang-undang, malah menunjukkan sikap dwi-standard dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

Penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Kesihatan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan melarang semua perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri Melaka dari 25 Oktober hingga 27 November tidak akan berlaku jika kerajaan tidak mengamalkan sikap Dua Darjat -- satu undang-undang khas untuk kelompok yang berkuasa dan satu set undang-undang lain untuk orang lain.

SOP pilihan raya untuk empat fasa PPN harus dipatuhi oleh semua parti politik, sama ada di dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, dan semua pegawai penguatkuasa harus melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan tegas.

Malaysia telah menjadi bahan jenaka di mata masyarakat dunia apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) tidak boleh memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku amalan Dua Darjat dan memastikan parti kerajaan sendiri akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Apa gunanya untuk beliau bangkitkan perkara ini di mesyuarat Kabinet yang akan datang dan bagaimanakah perkara ini dapat memastikan rakan sejawat beliau dalam Kabinet tidak akan cuba mencari cara untuk memintas apa-apa SOP yang ditetapkan untuk PRN Melaka ini sekiranya beliau tidak dapat memberikan jaminan pematuhan dan penguatkuasaan yang adil?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri