Bercelaru perasaan dengan statistik Covid-19 semalam -- gembira melihat jumlah kes baharu menurun kepada 4,782 kes tetapi pada masa yang sama gusar dengan kadar kematian yang masih tinggi pada kadar 92 kematian semalam

Statistik Covid-19 semalam memberikan perasaan yang bercelaru kepada saya -- saya gembira melihat jumlah kes baharu menurun kepada 4,782 kes tetapi pada masa yang sama gusar dengan kadar kematian yang masih tinggi pada kadar 92 kematian.

Walaupun jumlah kes baharu ini adalah kadar terendah dalam 125 hari yang lepas sejak 22 Jun, kadar kita menurunkan kes Covid-19 ini masihlah terlalu perlahan.

Indonesia misalnya, berjaya turun daripada kemuncak 56,757 kes pada 15 Julai kepada angka 460 kes semalam -- hanya dalam 102 hari sedangkan kita masih lagi mencatatkan kes dalam julat empat ribu kes dan masih amat jauh untuk mencapai kes dalam julat tiga angka.

Semasa Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos, terdapat 19,268 kes Covid-19. Bolehkah beliau menjelaskan mengapa penurunan angka kes ke julat tiga dan kemudiannya dua angka ini mengambil masa yang sebegitu lama sekali?

Dari segi kematian akibat Covid-19, Malaysia masih lagi mencatatkan kadar yang agak tinggi berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Pada 23 dan 24 Oktober, di mana kita mencatatkan 42 dan 46 kematian akibat Covid-19, terdapat sedikit harapan yang kadar kematian ini semakin menurun, namun harapan ini dimusnahkan dengan rekod 92 kematian akibat Covid-19 (termasuklah 11 kes kematian di bawa ke hospital, BID) semalam.

Khairy perlu memberikan penjelasan mengenai kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia berbanding dengan negara lain, dan terutamanya mengapa kita mencatatkan sejumlah 5,751 kes kematian BID.

Bilakah kes kematian BID ini akan menjadi satu perkara yang jarang berlaku?

Bolehkan rakyat Malaysia melihat angka-angka ini terus menurun, walaupun dengan perlahan, kepada julat dua angka untuk kes harian dan satu angka untuk kematian akibat Covid-19 atau adakah angka-angka ini akan meningkat naik?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri