Pakatan Harapan tidak boleh hilang kedudukan tinggi moral dengan membenarkan tiga orang daripada “empat serangkai Melaka” yang tidak bermoral untuk bertanding sebagai calon PH dalam PRN Melaka yang akan datang
Untuk hampir dua tahun, sejak daripada konspirasi Langkah Sheration yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik dan merampas mandat rakyat buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, lalu membawa masuk kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik pada hujung bulan Februari 2020, awan kelam suasana tidak bermoral telah menyelubungi politik tanah air.
Kerana inilah Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November ini mempunyai banyak kepentingan dan implikasi -- salah satunya adalah untuk mengembalikan moral dalam politik di Malaysia.
Politik telah digambarkan secara salah sebagai “kotor”, tetapi sebenarnya bukan politik itu yang kotor, ahli politik yang kotorlah yang mengotorkannya.
Sepanjang sejarah, politik adalah satu jalan mulia untuk berkhidmat demi rakyat untuk membawa peradaban manusia ke era keadilan, kebebasan, kesaksamaan, dan sifat kemanusiaan yang lebih tinggi. Tetapi pada masa yang sama juga, politik juga telah dicemari dengan kepentingan sendiri golongan kleptokrat, oportunis, dan orang jahat yang menggunakan politik untuk mengumpulkan kekayaan dan kekuasaan untuk diri sendiri.
Kerana inilah saya mengalu-alukan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menolak sebarang kemungkinan untuk mencalonkan seorang daripada empat orang mantan ADUN Melaka yang telah menyebabkan perlunya diadakan PRN Melaka pada 20 November ini.
Tetapi, saya juga berpendapat bahawa tiga mantan ADUN Melaka yang lain itu juga, yang bersama-sama membentuk “empat serangkai tidak bermoral” dari Melaka ini yang telah menyebabkan tercetusnya PRN Melaka ini juga tidak patut dicalonkan oleh Pakatan Harapan.
Ada yang mengatakan yang untuk mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu menyertai mereka yang boleh membawa kemenangan secara taktikal.
Sekiranya diberikan pilihan di antara menang dengan bekerjasama dengan kleptokrat, oportunis, dan orang jahat atau pun kalah kerana berpegang kepada prinsip politik dan berintegriti, saya memilih pilihan yang kedua.
Pakatan Harapan tidak boleh hilang kedudukan tinggi moral kita dengan membenarkan “empat serangkai tidak bermoral” ini untuk bertanding sebagai calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November 2021.