Khairy perlu membuat Kenyataan Menteri pada hari pertama sidang Belanjawan 2022 pada hari Isnin yang akan datang menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding mana-mana negara ASEAN sejak beliau menjadi Menteri Kesihatan 51 hari yang lepas
Saya telah menyeru berkali-kali kepada Khairy Jamaluddin sejak beliau angkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan yang baru pada 30 Ogos untuk menjelaskan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia, tetapi beliau masih gagal berbuat demikian.
Sekali lagi, saya menyeru Khairy untuk membuat Kenyataan Menteri pada hari pertama sidang Belanjawan 2022 pada hari Isnin, 25 Oktober 2021 yang akan datang menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan lebih banyak kematian akibat Covid-19 berbanding mana-mana negara ASEAN sejak beliau menjadi Menteri Kesihatan 51 hari yang lepas.
Semalam, Malaysia mencatatkan 5,516 kes baharu dan 76 kematian akibat Covid-19, dan buat pertama kalinya kita mengalahkan semua negara ASEAN dengan lebih banyak kematian baharu akibat Covid-19 -- Indonesia mencatatkan 28 kematian, Myanmar 28, Vietnam 72, Thailand 26, dan Filipina yang mencatatkan hanya lima kematian akibat Covid-19.
Dalam 51 hari selepas Khairy mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 30 Ogos, Malaysia terus mendahului negara-negara ASEAN dengan mencatatkan kadar kematian akibat Covid-19 tertinggi, 11,756 kematian, berbanding dengan 10,586 kematian di Indonesia, 7,647 di Filipina, 7,087 di Thailand, 10,352 di Vietnam, 3,157 di Myanmar, 801 di Kemboja, 191 di Singapura, 68 di Brunei, dan 33 kematian di Laos.
Malah, rekod Malaysia dalam 51 hari yang lepas juga agak buruk jika dibandingkan dengan India, yang mempunyai 42 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding Malaysia, yang mencatatkan hanya 14,252 kematian akibat Covid-19, berbanding dengan 11,756 di Malaysia untuk tempoh daripada 30 Ogos.
Apa yang lebih sukar diterima adalah apabila Malaysia juga kalah dengan negara-negara Asia yang lebih besar dalam 51 hari yang lepas, seperti Korea Selatan yang mencatatkan 414 kematian Covid-19, Jepun dengan 2,200 kematian dan China dengan sifar kematian.
Khairy perlu menjelaskan perkara ini kepada semua rakyat Malaysia dan juga menyatakan bilakah beliau menjangkakan dapat menurunkan kadar kematian harian ini ke julat satu angka.