Mengapakah pasport Ahli Parlimen Tony Pua disekat dan beliau dihalang daripada ke luar negara sedangkan Najib dibenarkan berjalan ke luar negara selepas didakwa?

Semalam, Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4), menuntut penjelasan mengenai mengapa Pejabat Peguam Negara tidak membantah permohonan daripada mantan perdana menteri untuk mendapatkan semula dokumen perjalanan beliau walaupun selepas disabit bersalah dan juga mempunyai perbicaraan yang sedang berlangsung, serta bagaimanakah kerajaan akan memastikan Najib tidak akan melarikan diri.

Persoalan C4 ini bertambah relevan lagi memandangkan sebelum ini Tony Pua, Ahli Parlimen PJ Utara, dihalang daripada meninggalkan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 2 Julai 2015 ke Yogyakarta walaupun pasport beliau masih sah sehingga 23 April 2020.

C4 telah membangkitkan persoalan berkepentingan awam yang perlu dijawab oleh Peguam Negara sendiri sekiranya beliau berpegang dan percaya kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta prinsip-prinsip tadbir urus yang baik mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri