Sudah tiba masanya Parlimen Malaysia bergerak seiring dengan perkembangan parlimen antarabangsa dan mengadakan sesi pendengaran awam secara berkala bagi menyemak setiap tindak tanduk kerajaan

Di Parlimen tahun lalu, Speaker Azhar Azizan Harun mencadangkan pembentukan sembilan jawatankuasa pilihan khas, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Terdapat satu lagi jawatankuasa pilihan khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.

Namun, tiada satu pun jawatankuasa ini akan berfungsi secara berkesan -- bukan hanya kerana tindakan tidak berpelembagaan kerajaan menggantung Parlimen, malah turut dibatasi oleh Peraturan Mesyuarat yang sudah lapuk dan usang. Peraturan Mesyuarat sedia ada membataskan jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk memainkan peranan yang lebih penting dan bermakna bagi menyemak setiap tindak tanduk kerajaan.

Parlimen Australia mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung wabak Covid-19 yang ditubuhkan sejak 2020 April dan telah melaksanakan lebih 50 pendengaran awam sepanjang 18 bulan lalu berkenaan respons kerajaan Australia dalam menangani penularan wabak di negara itu, dan ini adalah amalan Parlimen yang terbaik yang harus dicontohi Parlimen Malaysia.

Mungkin, jika amalan Parlimen terbaik diterapkan di negara ini dengan melaksanakan semak dan imbang yang berkesan terhadap tindak tanduk Eksekutif, nescaya Malaysia tidak akan mengalami mimpi ngeri wabak Covid-19 yang menghantui negara sejak 10 bulan yang lalu sejak pengisytiharan darurat pada 11 Januari dengan alasan untuk melawan Covid-19.

Saya agak bingung apabila melihat prestasi Malaysia lebih buruk berbanding Indonesia, seperti yang digambarkan dengan angka jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di mana Indonesia mencatatkan 1,053 kes baharu Covid-19 dan 37 korban semalam, sementara Malaysia mencatatkan 8,083 kes baharu dan 88 kematian pada hari yang sama -- situasi yang sudah berlarutan lebih seminggu.

Jika Menteri Kesihatan hadir untuk memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa pilihan khas, sebagai contoh Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, dan memberi penerangan dalam pendengaran awam, ia mampu untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam menjadi lebih baik dan cekap.

Ini sebabnya mengapa saya, semalam, mencadangkan aturan urusan pertama Dewan Rakyat apabila bersidang semula pada 25 Oktober perlulah menyentuh mengenai pindaan Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi untuk mengadakan pendengaran awam secara mingguan mengenai respons kerajaan terhadap wabak Covid-19

Ini akan memastikan Parlimen Malaysia dapat memainkan peranan yang bermakna dan penting bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berkesan dan cekap, dan bukannya sekadar menjadi tempat untuk melepaskan batuk di tangga.

Di United Kingdom, semua jawatankuasa pilihan khas membentang bukti yang sewajarnya kepada umum.

Selalunya, jawatankuasa tersebut akan bertemu dalam mesyuarat tertutup untuk tempoh masa yang singkat sebelum membentangkan bukti-bukti tersebut, yang mana boleh diakses dengan mudah oleh orang awam.

Mengapa Parlimen Malaysia masih tidak mampu untuk bergerak seiring dengan perkembangan Parlimen antarabangsa terutama membabitkan amalan Parlimen yang terbaik?

Saya bersetuju dengan pandangan Bersih yang mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung Hal Ehwal Pilihan Raya diwujudkan sebagai satu badan bebas yang memantau operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana sistem pilihan raya adalam komponen terpenting malah menjadi tunjang kepada sistem politik di negara kita, selain banyak usaha reformasi yang boleh diteroka serta dilaksanakan.

Sebuah sistem jawatankuasa pilihan khas parlimen yang berkesan juga perlu diwujudkan untuk menyemak dakwaan Pandora Papers. Pendedahan itu juga harus dibahaskan di Parlimen seperti mana yang disarankan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, tetapi ditolak oleh Speaker yang dilihat seolah-olah menjadi peguam bela dalam hal tersebut.

Memandangkan Azhar berpandangan bahawa isu dakwaan dalam Pandora Papers perlu disemak oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen, adakah beliau bersedia untuk mewujudkan jawatankuasa sumpanya?

Namun, ia akan menjadi suatu usaha yang sia-sia jika Peraturan Mesyuarat tidak dipinda untuk membenarkan sesi pendengaran awam diadakan.

Justeru itu, saya mencadangkan pindaan Peraturan Mesyuarat diletakkan sebagai perkara pertama dalam Aturan Urusan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 25 Oktober, dan sebuah jawatankuasa pilihan khas diberikan tugas untuk mengadakan sesi pendengaran awam berhubung dakwaan Pandora Papers.

Jadikan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen pertama di dunia yang menyiasat dengan mendalam dakwaan Pandora Papers.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri