DAP adalah sebuah parti yang mengutamakan kepentingan negara melebihi segalanya dan inilah sebabnya mengapa saya sudah tiga kali mencadangkan pelaksanaan moratorium politik sepanjang 57 tahun karier politik saya

DAP adalah sebuah parti yang mengutamakan kepentingan negara melebihi segalanya dan inilah sebabnya mengapa saya sudah tiga kali sebelum ini mencadangkan pelaksanaan moratorium politik sepanjang karier politik saya -- pada tahun 1969, 1987 dan 2021.

Kali pertama saya mengeluarkan cadangan tersebut adalah semasa saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 5 Ogos 1969. Semasa saya ditahan di Pusat Tahanan Muar, saya menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman bagi menyatakan kebimbangan saya berhubung masa depan Malaysia.

Menyentuh ancaman Parti Komunis Malaya (PKM), saya berkata:

“Tanpa ragu-ragu, jika diberi pilihan, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahu menyelesaikan sebarang rungutan dan rasa tidak puas hati yang timbul antara mereka tidak kira hal-hal yang menyentuh soal politik, ekonomi, sosial mahupun budaya secara aman, dan bukannya kekerasan.

“Di Malaysia, sebarang perubahan dilakukan secara aman berlandaskan proses demokrasi, sebaliknya PKM menggunakan kekerasan.

“Amat malang jika timbul situasi di mana proses demokrasi diragui, kerana setiap kekecewaan yang timbul terhadap proses tersebut, akan memberikan kelebihan dan menaikkan populariti serta dakyah yang disebarkan PKM.

Saya tegaskan: “Usaha perdamaian antara semua kaum hanya boleh berjaya jika ia melibatkan usaha daripada seluruh kaum dan parti. Usaha tunggal kerajaan sahaja tidak dapat memastikan kejayaan matlamat tersebut.”

Saya tegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya 10 Mei 1969 mencerminkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi, sekaligus menunjukkan penolakan mereka terhadap kempen PKM. Ramai yang berasa gembira dan memasang harapan yang tinggi susulan keputusan tersebut, tanpa menyimpan rasa untuk menekan hak sesiapa, sebaliknya memasang impian untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, saksama dan saling melengkapi.

Saya memohon kepada Tunku ketika itu, untuk “memikirkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.”

Bagi memastikan keharmonian terpelihara, dan membentuk kesedaran dan identiti rakyat Malaysia yang merentasi garis kaum dan pertalian, saya mengajukan tiga cadangan, termasuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja melibatkan semua parti dan semua kaum bagi menyiasat “semua aspek masalah perkauman di Malaysia untuk mencari penyelesaian jangka panjang.”

Saya mengakhiri warkah tersebut dengan menegaskan bahawa saya menulis bukan sebagai “ahli politik mana-mana parti tetapi sebagai seorang nasionalis Malaysia, yang tidak mahu negara tercinta ini mengalami nasib seperti Nigeria.”

Kali kedua adalah sehari sebelum saya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk kali kedua dan saya membangkitkan perkara tersebut di Parlimen semasa perbahasan Belanjawan 1988 pada 26 Oktober 1987 -- sehari sebelum penangkapan besar-besaran Operasi Lalang dilancarkan.

Saya mencadangkan moratorium selama satu tahun untuk semua parti politik di mana tiada isu kaum, bahasa, budaya atau agama akan dicipta atau dibangkitkan supaya semua pihak dapat menumpukan perhatian terhadap kepentingan negara dalam mencapai pertumbuhan dan pemulihan ekonomi.

Selepas peristiwa tembakan rambang yang mencetuskan situasi panik selama 12 jam di Jalan Chow Kit, pada 19 Oktober 1987, Datuk Megat Junid Megat Ayob memberi amaran bahawa suhu semangat perkauman di Malaysia semakin membara, dan kerajaan akan menyiasat secara mendalam insiden jenayah yang menyebabkan keadaan panik selama 12 jam di ibu negara dan juga seluruh negara, malah membangkitkan kebimbangan berlakunya satu lagi rusuhan 13 Mei.

Saya berkata, sekiranya pemimpin dan parti politik tidak berhenti mengapi-apikan isu perkauman, pergeseran antara kaum akan tambah memuncak seperti yang berlaku di Sri Lanka.

Saya berkata: “sebagai wakil yang dilantik oleh rakyat, Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menunjukkan contoh dan tauladan dalam perbincangan yang menyentuh masalah negara yang begitu kompleks dan luas, semua ini bertujuan untuk mencapai satu persefahaman bersama meskipun tidak mendapat persetujuan, menghormati sensitiviti setiap kaum, tanpa menggunakan provokasi bernada perkauman.”

Saya berjanji bahawa DAP akan menjadikan Parlimen sebagai wadah di mana wakil rakyat dari semua parti politik “berbahas dan berbincang isu-isu semasa dengan menggunakan akal, secara rasional dan secara tenang.”

Kali ketiga adalah semasa negara dilanda pandemik Covid-19. Pada 17 Jun 2021, saya menyeru pelaksanaan moratorium politik di mana kemenangan melawan wabak Covid-19 akan menjadi keutamaan tunggal negara, selain memastikan angka korban Covid-19 tidak melepasi paras 5,000.

Dari sebuah negara yang menunjukkan prestasi yang baik dalam menangani wabak Covid-19, Malaysia secara tiba-tiba menjadi salah sebuah negara yang tercorot dalam menguruskan wabak Covid-19.

Saya menyeru agar negara diberi peluang untuk mengorak permulaan baharu dalam perang melawan wabak Covid-19, yang mana telah menyebabkan kehancuran terhadap kehidupan, ekonomi dan masyarakat di Malaysia, menyebabkan 673,025 kes jangkitan Covid-19 dan 4,142 orang terkorban.

Saya berkata: “Marilah kita mengetepikan perbezaan kita, sama ada dalam hal politik atau lain-lain, dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19.

"Saya justeru mencadangkan pelaksanaan moratorium politik selama satu atau hingga dua tahun bagi membolehkan negara fokus kepada usaha untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan memastikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tidak melebihi paras 5,000 kes.

Saya turut mencadangkan supaya pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dibenarkan berfungsi dengan berkesan.

“Malah, perlu wujud pembaharuan dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

“Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 - dan ini harus menjadi fokus utama negara, tidak kira dalam tempoh setahun atau dua tahun.

“Benarkan semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan kita mempunyai mentaliti seolah-olah negara sedang beperang serta bersatu menentang musuh bersama yang membunuh rakyat Malaysia setiap hari dan mengancam untuk memusnahkan fabrik sosial masyarakat Malaysia.

Memorandum persefahaman (MOU) dan kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) yang bersejarah telah dimeterai antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September 2021 dengan tujuan untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan melaksanakan reformasi institusi dan Parlimen demi memulihkan negara, ekonomi dan sosial.

Ketika negara dilanda musibah, kita semua harus bersedia untuk mengetepikan semua perbezaan politik, kaum, agama dan peribadi demi memastikan kepentingan negara terpelihara, dan atas sebab ini, rakyat Malaysia harus diberi ruang untuk memainkan peranan mereka dalam menjayakan MOU CSR ini dalam berdepan cabaran wabak Covid-19 yang maha dahsyat dan belum pernah terjadi sebelum ini.

Ini adalah ujian terpenting dan paling getir buat Malaysia dan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik, untuk bersatu padu sebagai rakyat Malaysia dan mengetepikan kepentingan peribadi demi kepentingan negara.

Kita harus mengakui bahawa jika Malaysia mahu berjaya keluar daripada kemelut wabak ini, semua rakyat Malaysia harus bersatu padu dan bersedia mengetepikan perbezaan kaum, agama, wilayah dan politik.

Kerana jika Malaysia gagal sebagai sebuah negara, tiada satu kaum, agama wilayah mahupun politik akan mendapat manfaat daripadanya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri