6,709 kes jangkitan Covid-19 yang dicatatkan semalam, memberikan kita harapan bahawa negara semakin pulih selepas teruk dilanda gelombang ketiga wabak itu, namun pencapaian itu tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan Indonesia yang telah mencatatkan kes harian baharu Covid-19 tiga angka sejak dua hari lalu

6,709 kes jangkitan Covid-19 yang dicatatkan semalam, memberikan kita harapan bahawa negara semakin pulih selepas teruk dilanda gelombang ketiga wabak itu sejak pilihan raya negeri Sabah pada September tahun lalu.

Jika jumlah kes baharu Covid-19 mampu diturunkan sebanyak 1,000 berbanding hari sebelumnya, kita bakal mencatatkan kes jangkitan tiga angka menjelang Ahad, 17 Oktober 2021.

Ia bagaimanapun bergantung kepada dua faktor: pertama, jumlah kes harian baharu Covid-19 mampu diturunkan sebanyak 1,000 sehari berbanding hari sebelumnya, contoh: 5,000 kes hari ini dan 4,000 kes esok, dan kedua, ia masih dilihat sebagai sasaran yang rendah jika dibandingkan dengan angka kes jangkitan yang dicatatkan di Indonesia, di mana negara jiran tersebut telah mencatatkan jumlah kes jangkitan harian Covid-19 tiga angka sejak dua hari lalu; 895 kes pada Ahad dan 620 kes semalam.

Malah, Indonesia juga mencatatkan jumlah korban harian akibat Covid-19 yang lebih rendah berbanding negara kita sejak tiga hari lalu, Indonesia mencatatkan 52, 39 dan 65 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh tiga hari lalu, berbanding Malaysia yang mencatatkan angka korban sebanyak 74, 64 dan 92 pada hari yang sama.

Perbezaan jumlah korban akibat Covid-19 di Indonesia dan Malaysia telah memaksa saya untuk mendesak agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan situasi angka korban Covid-19 yang begitu tinggi di negara ini, terutama berhubung kematian yang berlaku di luar fasiliti (BID).

Khairy harus segera menjelaskan berkenaan masalah tunggakan (backlog) pengurusan mayat yang begitu tinggi -- lebih-lebih lagi selepas Khairy mendakwa kes korban tinggi akibat Covid-19 yang dilaporkan setiap hari tidak semestinya menggambarkan kadar kematian sebenar berikutan catatan backlog atau tertunggak dalam pengumpulan data.

Mengapa Khairy membiarkan masalah ini terus berpanjangan meskipun sudah enam minggu beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri