Sinar harapan kian cerah buat Malaysia untuk keluar daripada pandemik Covid-19, namun perjalanan masih jauh untuk kita kembali ke era sebelum darurat 11 Januari atau era di mana kita merekodkan kes harian dalam julat dua angka dan kes kematian harian satu angka
Rakyat Malaysia berkongsi rasa lega dan penuh pengharapan seperti yang dizahirkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas negara dilihat semakin hampir untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19, namun perjalanan masih jauh untuk kita kembali ke masa sebelum darurat iaitu sebelum 11 Januari atau tempoh di mana kita merekodkan kes harian dua angka dan kes kematian harian satu angka.
Semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk melawan pandemik Covid-19, kita merekodkan 2,232 kes harian baharu Covid-19, dengan jumlah keseluruhan 138,2254 kes, empat kematian direkodkan pada hari itu dengan 555 kes kematian terkumpul berbanding 7,373 kes harian baharu yang dicatatkan semalan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,339,594 kes, angka korban sebanyak 64 orang dengan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 27,329.
Kali terakhir kita merekodkan kes jangkitan tiga angka adalah pada 8 Disember 2020, ketika itu kita merekodkan 851 kes baharu; kali terakhir kita merekodkan kes dua angka adalah pada 30 September di mana 89 kes direkodkan; kali terakhir kita merekodkan kes satu angka pula adalah pada April tahun ini.
Susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa perjalanan rentas negeri dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin, Pelan Pemulihan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebelum ini nampaknya telah dihentikan.
Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh mantan perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada 15 Jun itu dibuat sehari sebelum mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu.
Meskipun penamatan pelan ini selari dengan dasar “Hidup di samping Covid” dan bukannya membasmi sepenuhnya Covid-19 -- suatu dasar yang ditegaskan saya sejak April berbeza dengan pendekatan sepenuhnya terhadap pelaksanaan sekatan penuh (total lockdown) -- kita harus tetap berjaga-jaga dalam menangani keadaan yang pantas berubah ini kerana masih banyak belum kita ketahui tentang pandemik Covid-19 ini.
Khairy harus mengambil maklum terhadap amaran yang dikeluarkan oleh pakar perubatan:
“Menteri mengambil risiko yang mungkin memakan diri. Beliau nampaknya bergantung sepenuhnya terhadap vaksin, namun kesan vaksin dilihat berbeza-beza di banyak negara dan Singapura, salah sebuah negara dengan kadar vaksinasi tertinggi terjejas teruk selepas dilanda gelombang kedua Covid.
“Keberkesanan vaksin menurun dan menyebabkan ramai yang terdedah kepada virus. Di Singapura, hampir 50% individu yang dimasukkan ke ICU adalah daripada kalangan mereka yang telah divaksin. Apa pun yang terjadi, beliau nampaknya mengambil risiko dan menerapkan dasar ‘hidup di samping Covid’ sama ada pada lewat November atau Disember.”
Persoalannya, bilakah Malaysia akan kembali ke masa sebelum darurat semasa kes harian baharu Covid-19 di negara ini menurun kepada 2,232 kes dan kes kematian harian akibat wabak itu menurun kepada empat kes.