Sinar cahaya di penghujung terowong kegelapan Covid-19 semakin cerah dengan hanya 8,075 kes dan 76 kematian (termasuklah 15 kematian di bawa ke hospital) semalam, walaupun Indonesia semalam sudah berjaya menurunkan angka kes ke dalam julat dua angka

Sinar cahaya di penghujung terowong kegelapan Covid-19 semakin cerah dengan hanya 8,075 kes dan 76 kematian (termasuklah 15 kematian di bawa ke hospital) semalam, walaupun Indonesia semalam sudah berjaya menurunkan angka kes ke dalam julat dua angka .

Kita berhadapan dengan gelombang penularan terpanjang Covid-19 di dunia sejak daripada Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September lepas.

Bilakah gelombang Covid-19 ini akan berakhir dan kita dapat kembali semula kepada situasi pandemik seperti sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, terutamanya seperti semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di mana kita hanya mencatatkan 14 kes baharu dengan hanya satu kematian akibat Covid-19 dengan sejumlah 9,340 kes terkumpul dan 127 kematian terkumpul. Kini kita mencatatkan 8,075 kes dan 76 kematian baharu dengan 2,285,640 kes terkumpul dan 26,759 kematian terkumpul akibat Covid-19!

Bilakah angka kes baharu ini akan turun ke julat tiga angka seperti yang dicapai Indonesia semalam dengan hanya 922 kes baharu, berbanding dengan kemuncak 56,757 kes pada 15 Julai 2021 -- hanya dalam masa 81 hari?

Kemuncak tertinggi kes Covid-19 kita adalah 24,599 kes pada 26 Ogos, sebelum Khairy Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan baharu di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Boleh kemuncak kes harian ini diturunkan ke julat tiga angka dalam seratus hari pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan menjelang 7 Disember 2021?

Sekiranya perkara ini berlaku, kita akan kembali ke keadaan Covid-19 seperti mana dalam bulan Oktober/November 2020 di mana kes harian berada dalam julat tiga angka -- dan akan menjadi satu pencapaian besar moratorium politik yang dipersetujui di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan pada 13 September dengan menandatangani memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) untuk menumpukan semua usaha kepada mengalahkan wabak Covid-19.

Saya ulangi semula cadangan saya supaya Khairy memanggil persidangan kebangsaan mengenai Covid-19 yang melibatkan pihak dari sektor kesihatan awam dan swasta dan NGO-NGO kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menurunkan angka kes ini ke julat dua angka dan menurunkan angka kematian ke julat satu angka.

Persidangan kebangsaan yang melibatkan keseluruhan masyarakat ini menjadi salah satu perkembangan terbesar untuk mengubah pendekatan kita terhadap wabak Covid-19, daripada satu pandemik kepada suatu penyakit yang bersifat endemik, untuk membolehkan kita semua “hidup bersama Covid-19” seperti yang saya cadangkan Julai lepas.

Rakyat Malaysia juga perlu memastikan yang dalam seratus hari pertama Khairy sebagai Menteri Kesihatan, negara kita tidak mencapai sejumlah 2.5 juta kes terkumpul dan 30,000 kematian terkumpul akibat Covid-19 -- perkara ini juga perlu menjadi sasaran persidangan kebangsaan tersebut.

Satu perkara yang penting untuk ditekankan, selepas mengikuti kadar kes dan kematian Covid-19 di Malaysia untuk sekian lamanya, semalam negara kita akhirnya terkeluar daripada kedudukan sepuluh teratas daripada kedua-dua kategori kes harian dan kematian baharu setiap hari.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri