Ismail Sabri harus sedar betapa rapuhnya idea “Keluarga Malaysia” selepas dua insiden yang mengancam konsep tersebut semalam

Perdana Menteri, Ismail Sabri harus sedar betapa rapuhnya idea “Keluarga Malaysia” selepas dua insiden yang mengancam konsep berkenaan tercetus semalam: pertama, kenyataan rasis oleh mantan pemimpin Bersatu terhadap pemain perseorangan wanita kebangsaan, S. Kisonan dengan memanggil dengan perkataan jelik “K”, dan kedua, penceramah Ustaz Syakir Nasoha yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman berkenaan agama orang bukan Islam dan masyarakat Dayak dalam satu video yang tular baru-baru ini.

Jika semua rakyat Malaysia dididik untuk menjiwai prinsip Rukun Negara berhubung pembinaan negara bagi membentuk sebuah Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, pelbagai bahasa, pelbagai agama dan pelbagai budaya, kenyataan jelik seumpama itu pasti tidak berlaku.

Jika rakyat Malaysia dididik untuk menjiwai lima prinsip Rukun Negara berhubung pembinaan negara sejak separuh abad yang lalu, mereka akan lebih menghargai kekuatan negara yang boleh diambil daripada nilai-nilai terbaik empat peradaban yang bertemu di Malaysia - Islam, Cina, India dan Barat.

Namun kini, kita mempunyai Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen yang mencabar dan menyangah kesahan dan kesesuaian lima prinsip Rukun Negara dalam pembinaan sebuah Malaysia yang bersatu padu, makmur dan berjaya.

Ismail Sabri memberikan kenyataan yang cukup baik dalam wawancara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan semalam dengan menyeru agar rakyat Malaysia bersatu padu sebagai sebuah keluarga, dan mengetepikan perbezaan agama, kaum dan politik.

Ismail berkata: “Saya mahu kita hidup seperti satu keluarga yang kita lupakan segala perbezaan yang ada, sama ada dari segi agama, kaum malah perbezaan fahaman politik pun perlu diketepikan, supaya semua rakyat bersama-sama berganding bahu membangunkan Malaysia ini.”

Beliau berkata perbezaan yang ada dalam kalangan masyarakat perlu diraikan serta tidak menjadi halangan untuk bersatu padu.

Beliau menambah semangat kerjasama itu turut ditonjolkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept lepas, demi kepentingan rakyat dan negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkan ia sebagai politik baharu Malaysia seperti mana amalan di negara maju yang lain, dengan kerajaan dan pembangkang berganding bahu membangunkan negara.

katanya: “Jadi antara pembangkang dan kerajaan (kita) bersama-sama membina negara. Ya kita berlawan, tetapi waktu pilihan raya lima tahun sekali. Apabila rakyat sudah memberi mandat kerajaan ditubuhkan, kita kena bersama-sama membina negara ini.

“Politiking sepatutnya dihentikan, kerana pembangkang juga boleh memberikan pandangan untuk ‘check and balance’, dan dalam masa yang sama mana yang baik kita akan ikut dan dengan itu kita boleh bersama-sama membangunkan negara.”

Ini bukanlah Ismail Sabri yang kita kenal sebelum beliau menjadi Perdana Menteri!

Jika semangat ini diikuti sejak dulu lagi, Kerajaan Pakatan Harapan sudah tentu tidak akan digulingkan selepas 22 bulan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang tidak demokratik, tidak sah, dan pintu belakang, malah hari ini Anwar Ibrahim sudah tentu sudah menjadi Perdana Menteri kelapan dan berusaha untuk melaksanakan pelbagai reformasi institusi dan Parlimen yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan terhindar daripada anasir kleptokrasi dan kakistokrasi.

Ketika negara berdepan dengan ancaman, dalam hal ini; pandemik Covid-19, setiap orang harus mengetepikan perbezaan untuk memastikan Malaysia menang perang melawan Covid-19 dan menyelamatkan jutaan rakyat Malaysia daripada dijangkiti Covid-19 dan puluhan ribu terkorban akibat wabak berkenaan.

Moratorium politik selama 10 hingga 18 bulan sehingga pilihan raya umum seterusnya amat diperlukan -- kerana tugas yang perlu dipikul sekarang adalah untuk memastikan Malaysia terselamat -- untuk menang dalam perang melawan pandemik Covid-19 dan untuk menetapkan semula landskap politik negara dengan reformasi institusi dan Parlimen supaya Malaysia dapat mengorak langkah untuk memulihkan ekonomi-sosial negara.

Ini yang berlaku di United Kingdom semasa Perang Dunia Kedua. Semasa Jerman yang dipimpin Hitler mengancam UK, Winston Churchill dan Clement Attlee bekerjasama selama lima tahun sejak 1940.

Selepas mereka menang ke atas Jerman yang dipimpin Hitler, kedua-dua pihak itu menjadi musuh semula, bertanding sesama sendiri dalam Pilihan Raya 1945 di mana Attlee menang besar.

Attlee menjadi Perdana Menteri pada Julai 1945 dan Churchill, yang mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk Attlee sepanjang kerjasama itu, menjadi Pemimpin Pembangkang. Selepas Pilihan Raya Britian 1951, Churchill dan Attlee bertukar kedudukan dengan Churchill sekali lagi menjadi Perdana Menteri dan Attlee kembali menjadi Pemimpin Pembangkang.

Pakatan Harapan tidak pergi sejauh itu dengan menyertai kerajaan Ismail Sabri dalam era wabak Covid-19 dan akan meneruskan peranannya sebagai pembangkang yang konstruktif.

Belum tentu Ismail Sabri akan menang dalam pilihan raya umum akan datang kerana beliau masih belum membuktikan bahawa beliau mempunyai visi yang terbaik untuk masa depan Malaysia.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri amat menentang konsep seperti “Keluarga Malaysia”. Bolehkan beliau membuktikan komitmennya untuk mengangkat idea besar “Keluarga Malaysia”?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri