Berita terbaik berkaitan Covid-19 sejak hampir tiga bulan dan cabaran 100 Hari Khairy

Harapan kian cerah buat kita semua.

9,066 kes harian baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah berita terbaik berhubung wabak Covid-19 sejak hampir tiga bulan. Pada 8 Julai 2021, Malaysia merekodkan 8,868 kes baharu Covid-19.

Kita merekodkan kes lima angka selama hampir tiga bulan sejak 13 Julai, dan semalam, adalah kali pertama kita berjaya menurunkan angka kes kepada julat empat angka.

Kita mengambil masa lebih dari sebulan untuk mencatatkan penurunan dari puncak 24,599 kes baharu Covid-19 pada 25 Ogos kepada julat empat angka.

Adakah kita memerlukan sebulan lagi sebelum angka kes menurun ke paras tiga angka dan adakah kes harian baharu Covid-19 akan menurun ke paras dua angka semasa Khairy Jamaluddin melengkapkan 100 hari pertama perkhidmatannya sebagai Menteri Kesihatan?

Semua rakyat Malaysia berharap dan mendoakan kejayaan Khairy dalam perang melawan wabak Covid-19.

Kita mengalami gelombang jangkitan Covid-19 yang terpanjang di dunia sejak pilihan raya negeri Sabah pada September tahun lalu.

Semasa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat untuk melawan wabak Covid-19 pada 11 Januari 2021, jumlah kes keseluruhan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 138,224 dengan 555 orang terkorban akibat wabak itu.

Semasa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tujuh bulan kemudian pada 16 Ogos 2021, jumlah kes keseluruhan jangkitan serta korban akibat Covid-19 masing-masing telah meningkat kepada 1,424,639 dan 12,784.

Kini, kita mempunyai jumlah kes keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 2,277,565 dengan 26,683 kematian terkumpul.

Kita kini berada di kedudukan ke-20 antara negara-negara dengan kes keseluruhan Covid-19 tertinggi, sedangkan kita pernah berada di kedudukan ke-89 dalam senarai tersebut semasa kita menyambut Hari Kebangsaan ke-63 pada 31 Ogos 2020.

Mampukah Malaysia berhenti daripada memintas lebih banyak negara dan memastikan kita tidak mencapai 2.5 juta kes terkumpul Covid-19 dan 30,000 kematian terkumpul akibat wabak itu menjelang 100 hari pertama perkhidmatan Khairy sebagai Menteri Kesihatan pada 7 Disember 2021, sejak beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos?

Inilah cabaran 100 hari pertama Khairy!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri