Saya alu-alukan kenyataan Ismail Sabri bahawa konsep “Keluarga Malaysia” ini berteraskan kepada Rukun Negara, tetapi apakah yang sedang dilakukan beliau untuk memastikan Kabinet terdiri daripada kalangan Menteri yang berpegang kepada Rukun Negara?

Saya alu-alukan kenyataan Ismail Sabri bahawa konsep “Keluarga Malaysia” ini berteraskan kepada Rukun Negara dan Pelan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah satu usaha untuk mengembalikan impian perpaduan yang disematkan dalam kelima-lima prinsip Rukun Negara.

Namun, Pelan Perpaduan Negara ini mempunyai permulaan yang buruk apabila Menteri Perpaduan, Halimah Mohamed Sadique tidak berani menjawab soalan berkenaan isu mengenai papan tanda untuk beberapa sekolah awam jenis kebangsaan Cina di Pahang, sebaliknya mengalihkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri Pahang.

Pelan Perpaduan Negara ini tidak boleh hanya kelihatan cantik di atas kertas tetapi tidak mempunyai sebarang kesan atau nilai di lapangan, sebaliknya ia perlu menjadi satu rancangan yang melibatkan semua Kementerian dan semua kerajaan negeri, dengan Menteri Perpaduan diberikan mandat untuk memperbetulkan sebarang kelarian dalam mana-mana Kementerian atau Kerajaan Negeri.

Menteri Perpaduan perlu mempunyai mandat dan kuasa untuk masuk campur apabila mana-mana Kementerian atau kerajaan negeri melakukan perkara yang bertentangan dengan objektif Pelan Perpaduan Negara ini untuk memastikan terdapatnya perpaduan dalam negara kita.

Sekiranya Pelan Perpaduan Negara ini hanya melibatkan Kementerian Perpaduan tetapi tidak relevan kepada keseluruhan negara atau Kementerian atau kerajaan negeri yang lain, ia bukanlah sebuah Pelan Perpaduan Negara yang mempunyai sebarang nilai selain daripada nilai kertas di mana ianya dicetak.

Dalam perkara ini juga, saya ingin bertanya kepada Ismail Sabri mengenai apakah yang dilakukan beliau untuk memastikan Kabinet beliau terdiri hanya daripada kalangan mereka yang menegakkan prinsip Rukun Negara ini?

Tun Razak, Perdana Menteri kedua, di mana di bawah pentadbiran beliaulah Rukun Negara ini dirangka, pastinya akan terkejut sekiranya ditanya sama ada beliau akan menjangkakan yang Malaysia akan mempunyai Kabinet dengan Menteri yang tidak menyokong prinsip-prinsip Rukun Negara!

Adakah Ismail Sabri akan meminta semua Menteri Kabinet beliau untuk menyata sokongan dan komitmen mereka terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara dan untuk memecat mana-mana Menteri yang enggan berbuat demikian?

Saya tidak berasa Ismail Sabri berani berbuat demikian, kerana ia akan menyebabkan beliau kehilangan sokongan dan menjadikannya Perdana Menteri dengan penggal perkhidmatan terpendek dalam sejarah, lebih pendek berbanding dengan Muhyiddin Yassin.

Sekiranya Kabinet Ismail Sabri tidak boleh menjadi contoh perpaduan negara, apakah gunanya Pelan Perpaduan Negara yang dilancarkan beliau semalam.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri