Adakah “Keluarga Malaysia” akan menyelamatkan kita daripada menjadi negara gagal?

Lusa, hari Ahad, akan menjadi hari ke-100 Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia.

Beliau telah mencipta “Keluarga Malaysia” sebagai jenama beliau sebagai seorang perdana menteri.

Adakah “Keluarga Malaysia” ini akan menyelamatkan negara kita daripada menjadi sebuah negara gagal, memandangkan Malaysia sering kali tercicir daripada senarai negara-negara berdaya saing dan berjaya?

Sebagai sebuah negara, kita menunjukkan prestasi yang buruk dalam menguruskan wabak Covid-19.

Semasa Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos, Malaysia mencatatkan 22,262 kes baharu harian dan 223 kematian akibat Covid-19 dengan sejumlah 1,535,286 kes terkumpul dan 13,936 kematian terkumpul.

Pada hari ke-100 beliau menjadi Perdana Menteri jumlah kes terkumpul ini akan berada pada paras lebih dari 2.62 juta kes dan 30,300 kematian -- peningkatan lebih sejuta kes dan lebih 16,359 kematian.

Kita telah memperlahankan peningkatan mendadak jumlah kes ini (yang mencapai kemuncak 24,599 kes pada 26 Ogos) dan jumlah kematian (yang mencapai kemuncak 463 kematian pada 14 September), tetapi penurunan ini masih terlalu perlahan memandangkan kita masih mencatatkan 6,144 kes baharu dan 48 kematian semalam.

Sebagai perbandingan, pada 21 Ogos, Indonesia mencatatkan 16,744 kes baharu dan 1,361 kematian, Filipina mencatatkan 16,234 kes baharu dan 397 kematian, dan India mencatatkan 31,043 kes dengan 401 kematian.

Semalam, Indonesia mencatatkan 372 kes baharu dengan 16 kematian; Filipina mencatatkan 975 kes baharu dengan 193 kematian; dan India mencatatkan 2,044 kes baharu.

Kita bukan sahaja telah kalah dengan Indonesia yang mencatatkan kadar jangkitan harian yang lebih rendah untuk keseluruhan 100 hari Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ke-9, Indonesia mencatatkan enam minggu dengan jumlah kes harian dalam julat tiga angka sejak 15 Oktober sedangkan kita pula sedang bergelut dalam julat 4,000-6,000 kes.

Kita juga telah kalah dengan Indonesia untuk lebih daripada tujuh minggu sejak 5 Oktober dengan mencatatkan lebih banyak kematian akibat Covid-19!

Kita juga telah kalah dengan Filipina yang telah memasuki hari keduanya dengan angka kes dalam julat tiga angka, dan apa yang lebih serious adalah apabila kita sedang kalah dengan India dengan lebih banyak jumlah kes harian.

Adakah Ismail Sabri boleh menjelaskan pada hari Ahad ini, bagaimana “Keluarga Malaysia” beliau ini dapat menyelamatkan negara daripada menjadi sebuah negara gagal?

Saya menyokong penuh cadangan daripada Nazir Razak dan sekumpulan 54 orang individu tersohor yang menyeru Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja untuk menyokong cadangan penubuhan suatu platform bukan partisan, “Better Malaysia Assembly”, untuk mencadangkan reformasi dan menetapkan semula institusi dan sistem negara.

Seperti yang dikatakan dalam surat kepada Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, ramai perdana menteri telah menduduki tampuk kekuasaan dengan menjanjikan reformasi, tetapi janji-janji ini sering diketepikan dengan isu-isu perkauman dan keagamaan dan akhirnya tidak banyak yang dicapai.

Perhimpunan ini akan mempertimbangkan perkara-perkara seperti kenegaraan dan reformasi institusi, termasuklah mengenai perkara seperti sistem pilihan raya, pendanaan politik, hubungan kerajaan persekutuan-negeri, peranan institusi, tindakan afirmatif dan pendidikan.

Ia boleh mengenal pasti dasar-dasar dan perubahan khusus yang diperlukan, yang dijangkakan akan mengambil masa 18 ke 24 bulan untuk pertimbangan di sebalik pintu tertutup untuk mencapai suatu konsensus.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri