Najib harus jelaskan sama ada beliau sebenarnya sudah tiada rasa malu apabila memohon rumah dan hartanah bernilai RM100 juta atas dasar pernah menjadi Perdana Menteri sedangkan nama beliau terkait dengan skandal 1MDB yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan menjadikan Malaysia terkenal dengan gelaran kleptokrasi di seluruh dunia

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hari ini mempertikaikan mengapa kerajaan sebelum ini begitu mudah mempertimbangkan permohonan Najib Abdul Razak untuk mendapatkan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta.

Persoalan yang dibangkitkan Anwar itu tepat, tetapi persoalan yang lebih penting untuk dijawab oleh Najib adalah mengapa beliau seolah-seolah tiada rasa bersalah sehingga begitu berani untuk memohon rumah dan hartanah bernilai RM100 juta kerana mantan perdana menteri itu seperti diketahui umum telah dijatuhkan hukuman berkaitan skandal 1MDB yang telah menyebabkan kerugian bernilai berbilion ringgit, malah menjadikan Malaysia terkenal sebagai kleptokrasi di seantero dunia.

Malah, sejak beberapa hari lalu, Najib dilihat begitu sibuk mengalihkan perhatian rakyat daripada persoalan [penting ini, daripada isu penolakan beliau terhadap rumah dan hartanah bernilai RM100 juta yang didakwa ditawarkan kepada beliau sehingga kepada mencadangkan hartanah dan rumah itu dijual bagi menaikkan had pengeluaran i-Citra daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Semua ini dibuat untuk menutup persoalan yang lebih besar: bagaimana beliau boleh tiada secebis rasa malu dan memohon rumah dan hartanah bernilai RM100 juta selepas beliau ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 kerana menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi, dan kini menjadikan pilihan raya negeri Melaka sebagai batu loncatan untuk beliau kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Rakyat Malaysia masih menantikan jawapan Najib.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri