Sokongan kepada seruan Anwar untuk menyemak semula MOU CSR sekiranya perkara ini dilihat sebagai satu ‘cek kosong’ untuk perbelanjaan menjijikkan seperti rumah bernilai RM100 juta untuk Najib

Saya menyokong penuh seruan Anwar Ibrahim untuk menyemak semula memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) yang ditandatangi di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan sekiranya perkara ini dilihat sebagai satu ‘cek kosong’ oleh kerajaan untuk perbelanjaan menjijikkan seperti rumah bernilai RM100 juta untuk Najib Razak, individu yang telah mengkhianati amanah rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi.

Tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang baik yang boleh menyokong RM100 juta wang rakyat digunakan untuk memberikan rumah kepada Najib, sedangkan beliaulah yang bertanggungjawab menyebabkan negara kita kerugian berpuluh, malah beratus billion ringgit akibat daripada 1MDB dan skandal-skandal lain.

Saya pasti abangnya sendiri juga, Nazir Razak, yang baru-baru ini menerbitkan buku bertajuk “What’s In a Name” juga tidak akan bersetuju.

Kerajaan sepatutnya menuntut Najib memulangkan berbilion ringgit yang masih dikawal beliau, bukannya memperuntukkan RM100 juta untuk rumah beliau.

Adakah Kerajaan Ismail Sabri ini sebegitu kekontangan moral dan etika sehingga mereka bersedia untuk memperuntukkan RM100 juta untuk merumahkan Najib?

Perlu ada komitmen daripada Kerajaan Ismail Sabri untuk tidak membelanjakan walau satu sen sekalipun untuk rumah RM100 juta Najib ini melainkan perkara ini diluluskan Parlimen. Kerana saya percaya, Ahli-ahli Parlimen PN dan BN yang berfikiran baik juga pasti akan berasa jijik dengan idea RM100 juta wang rakyat digunakan untuk memberikan rumah kepada Najib.

Apakah pendirian Presiden PAS dan juga Parti PAS dalam isu ini? Atau adakah mereka ini tidak mempunyai pendirian langsung?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri