Rumah bernilai RM100 juta untuk Najib mesti diundi di Parlimen memandangkan Najib telah disabit bersalah sebagai seorang penjenayah walaupun sedang menanti rayuan

Terdapat kekecohan di Parlimen hari ini mengenai rumah bernilai RM100 juta untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi dengan 1MDB dan skandal-skandal lain.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz cuba mengelat dengan isu tersebut daripada memberikan jawapan yang jelas.

Adakah rakyat Malaysia mahu menghadiahkan Perdana Menteri yang telah menyebabkan negara kita kehilangan berpuluh malah beratus billion ringgit akibat 1MDB dan skandal-skandal lain dengan rumah yang bernilai RM100 juta?

Perkara ini amat menjijikkan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang baik, tetapi ia akan dilihat sebagai kemenangan oleh mereka yang tidak mempunyai secebis moral atau etika sekali.

Melihat kepada kemarahan rakyat mengenai isu ini, rumah bernilai RM100 juta kepada Najib ini mestilah diundi di Parlimen memandangkan Najib telah disabit bersalah sebagai seorang penjenayah walaupun sedang menanti rayuan.

Bilakah peruntukan untuk rumah Najib yang bernilai RM100 juta ini akan dibentangkan ke Parlimen untuk diundi?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri