Seruan kepada pengundi Melaka untuk menolak calon PN dan BN kerana sepanjang 10 hari yang lepas, purata kes harian baharu Covid-19 di Indonesia adalah bersamaan 7.2% daripada purata kes harian baharu yang direkodkan di Malaysia sedangkan negara jiran itu mempunyai jumlah penduduk lapan kali ganda berbanding Malaysia

Semalam, Malaysia merekodkan 6,280 kes harian baharu Covid-19 dan 68 korban akibat wabak itu -- angka yang dilihat begitu tinggi jika dibandingkan dengan jumlah kes jangkitan dan korban yang direkodkan semasa Darurat diisytiharkan -- dengan alasan untuk melawan Covid-19 -- pada 11 Januari 2021 iaitu sebanyak 2,232 kes dan empat korban.

Ini bermakna, kita masih perlu menempuh perjalanan yang panjang untuk menamatkan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia -- yang berlanjut selama 14 bulan sejak September tahun lalu -- gelombang Covid-19 yang terpanjang di dunia sejak September tahun lalu.

Semalam, Indonesia merekodkan 522 kes harian baharu Covid-19 dengan 13 korban, yang mana hampir sama dengan jumlah kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) yang dicatatkan di Malaysia semalam.

Saya menyeru pengundi Melaka untuk menolak calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) atas sebab prestasi buruk Malaysia dalam menangani wabak Covid-19, sepanjang 10 hari lalu, purata kes harian baharu Covid-19 di Indonesia adalah sebanyak 7.2% daripada jumlah purata kes harian baharu yang dicatatkan di Malaysia dalam tempoh yang sama, sedangkan Indonesia mempunyai jumlah penduduk lapan kali ganda berbanding Malaysia.

Sepanjang 10 hari kempen pilihan raya negeri Melaka, Malaysia telah mengumpulkan 52,303 kes jangkitan baharu, berbanding Indonesia sebanyak 3,771 kes atau bersamaan 7.2% daripada jumlah kes Covid-19 yang direkodkan di Malaysia -- dengan Indonesia merekodkan purata kes harian sebanyak 377 kes untuk tempoh 10 hari lalu berbanding Malaysia yang merekodkan purata kes harian sebanyak 5,230 kes untuk tempoh yang sama.

Saya berasa malu sebagai seorang rakyat Malaysia apabila melihat prestasi buruk yang ditunjukkan negara dalam perang melawan wabak Covid-19 berbanding negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina dan malah India.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan telah berjaya mengawal lonjakan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia, namun proses untuk menang perang melawan wabak Covid-19 bergerak terlalu perlahan -- dan atas sebab itu tindakan menolak calon PN dan BN pada Sabtu nanti adalah suatu keputusan yang amat wajar.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri