Adakah larangan terhadap perjudian dan penjualan arak serta penarikan semula sokongan terhadap Rukun Negara ini sebahagian daripada “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri?

Saya telah katakan yang Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan ini adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah negara, perkara ini telah disahkan dengan tindakan Menteri Besar Kedah yang melarang aktiviti perjudian di Kedah.

Ismail Sabri perlu menjelaskan samada larangan terhadap perjudian dan penjualan arak serta penarikan semula sokongan terhadap Rukun Negara -- kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan -- ini sebahagian daripada “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri?

Ismail Sabri perlu menjelaskan mengapa beliau masih belum memaklumkan kepada Parlimen yang kerajaan dan Kabinet beliau tidak menyokong kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa dalam Rukun Negara yang berteraskan Malaysia yang majmuk.

Sukar untuk dipercayai yang seorang Perdana Menteri daripada UMNO sendiri kini menolak salah satu pencapaian terhebat Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Razak, dalam merangka kelima-lima prinsip untuk membina Malaysia yang majmuk.

Indonesia juga mempunyai Pancasila, lima prinsip yang menjadi falsafah pembangunan negara bangsa Indonesia, iaitu: Kepercayaan kepada Tuhan, Kemanusiaan yang adil dan beradab, Penyatuan Indonesia, Demokrasi berteraskan pertimbangan dan musyawarah wakil rakyat, dan Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Indonesia kini sedang mengejar Malaysia, kerana tiada seorang pun Presiden Indonesia yang menolak Pancasila ini.

Adakah Ismail akan terus silap dan membiarkan Menteri-menteri dan rakan gabungan beliau untuk terus menolak Rukun Negara?

Semalam, bersama dengan MP DAP Damansara, Tony Pua dan calon DAP untuk Duyong, Damien Yeo, saya melawat semula telaga Hang Tuah.

Di tapak bersejarah tersebut, yang menunjukkan kekuatan sifat Hang Tuah, saya teringat yang Melaka yang telah mencapai tahap ketamadunan tinggi lima ratus tahun lepas, tumbang kerana rasuah, dan terfikir sama ada suatu hari nanti, akan terjadi pula kejatuhan Malaysia dan berulangnya kejatuhan Melaka buat kali kedua akibat rasuah kerana kita membenarkan kleptokrasi untuk kembali.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, yakin yang UMNO boleh memenangi 18 daripada 28 kerusi yang ditandingi di Melaka -- yang bermakna UMNO akan membentuk kerajaan negeri Melaka yang akan datang.

Orang yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi kini sedang memainkan peranan utama berkempen untuk UMNO dalam PRN melaka ini. Apakah maksud perkara ini?

Saya tidak rasa ada sesiapa yang tidak setuju apabila saya katakan yang laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tahun hadapan akan menjadi satu laporan yang buruk untuk Malaysia, menunjukkan kejatuhan anak tangga akibat rasuah.

Semua ini berlaku sebelum PRN Melaka.

Adakah kita akan melihat rasuah yang lebih berleluasa di Melaka dan Malaysia?

Adakah semua usaha kita untuk menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dalam PRU 14 pada tahun 2018 ini sia-sia?

Inilah antara isu yang akan ditentukan pada hari Sabtu ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri