Memandangkan PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah dan membangkitkan isu mengenai arak, mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa Rukun Negara untuk mendapatkan undi di Melaka, marilah pengundi di Melaka menolak secara bulat-bulat calon PAS, PN, dan BN akibat pencabulan Rukun Negara ini

Memandangkan PAS telah mengharamkan aktiviti perjudian di Kedah dan membangkitkan isu mengenai arak, mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa Rukun Negara untuk mendapatkan undi di Melaka, marilah pengundi di Melaka menolak secara bulat-bulat calon PAS, PN, dan BN akibat pencabulan Rukun Negara ini.

Saya kini berusia 80 tahun dan saya tidak pernah seumur hidup saya membeli nombor 4D. Tetapi cubaan untuk mengawal moral seperti ini dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya adalah satu perbuatan yang salah, bersifat ekstremis, dan tidak bertoleransi.

Malaysia adalah titik pertemuan empat budaya tamadun hebat dunia -- Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.

Kita perlu menggembeleng nilai-nilai murni daripada keempat-empat tamadun ini, yang merangkumi agama-agama utama dunia, sama ada Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Tao, atau Sikh.

Malah negara kita ini boleh dikira sebagai gambaran menyeluruh Asia, dan perkara ini tidak seharusnya hanya menjadi tarikan pelancong, sebaliknya menjadi asas kehidupan di Malaysia.

Mengapakah rakyat Malaysia perlu bergaduh mengenai perbezaan keagamaan atau tamadun lampau mereka? Sebaliknya kita perlu mengambil kedudukan bertoleransi terhadap kepelbagaian agama, budaya, dan tamadun yang bertemu di negara kita ini untuk menjadi sebuah negara hebat yang berkelas dunia.

Kerana inilah kita ada lima prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Rukun Negara untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama, menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak, dan membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Matlamat ini diterapkan dengan lima prinsip pembinaan negara bangsa iaitu:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Masalah yang dihadapi negara kini adalah walaupun pada tahun 70-an dan 80-an kelima-lima prinsip Rukun Negara ini diajarkan kepada para pelajar dan terpahat di dinding-dinding sekolah, universiti, dan tempat-tempat awam yang penting, kita kini mempunyai Menteri Kabinet dalam dua kerajaan “pintu belakang” yang tidak sah ini yang tidak menerima kelima-lima prinsip Rukun Negara ini.

Boleh Perdana Menteri Ismail Sabri mengarahkan semua Menteri beliau untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara ini?

Beliau tidak boleh berbuat demikian, kerana saya tahu sekurang-kurangnya tiga orang Menteri Kabinet beliau yang tidak percaya kepada prinsip ini, lantas menunjukkan tauladan buruk kepada generasi baharu rakyat Malaysia yang melihat identiti diri mereka sebagai pertama rakyat Malaysia, sebelum identiti kaum masing-masing, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.

Bolehkah Ismail Sabri menjelaskan sama ada konsep “Keluarga Malaysia” beliau ini berasaskan kepada penolakan kelima-lima prinsip Rukun Negara.

Empat puluh tahun yang lepas pada tahun 1977, Ahli-ahli Parlimen DAP menyokong Ahli-ahli Parlimen PAS di Parlimen sehingga awal pagi untuk menentang penyalahgunaan kuasa untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan untuk merampas kuasa daripada PAS kerana perkara ini adalah satu penyalahgunaan kuasa perlembagaan.

DAP adalah sebuah parti yang berasaskan prinsip walaupun dengan pelbagai fitnah dan momokan yang dilemparkan kepada DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam. Sebaliknya, DAP menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan juga kedudukan Raja-raja, tetapi percaya bahawa semua rakyat Malaysia perlulah bergerak kepada mengutamakan Malaysia dan bukannya perbezaan perkauman baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.

Sekiranya PAS ini menerima prinsip dan matlamat Rukun Negara serta matlamat untuk Utamakan Malaysia, maka Menteri Besar Kedah dari PAS tidak akan cuba untuk menimbulkan isu larangan perjudian untuk memancing undi di Melaka atau cuba menggunakan isu Wiski Timah untuk tujuan politik.

Saya seru pengundi di Melaka untuk memberikan pengajaran kepada calon PAS, PN dan BN dalam PRN Melaka pada 20 November ini, kerana rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat membayangkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara sekiranya kelima-lima prinsip pembinaan negara bangsa ini ditolak.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri