SPR telah tersasar daripada skop tugasnya iaitu untuk memastikan pilihan raya negeri Melaka berjalan secara “bebas, adil dan bersih” dengan menjadi agen kepada Kementerian Kesihatan yang dipertanggungjawabkan untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19, sedangkan itu bukan tugas SPR, sebaliknya tugas pegawai Kementerian Kesihatan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah tersasar daripada skop tugasnya iaitu untuk memastikan pilihan raya negeri Melaka berjalan secara “bebas, adil dan bersih” dengan menjadi agen kepada Kementerian Kesihatan yang dipertanggungjawabkan untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19, sedangkan itu bukan tugas SPR, sebaliknya tugas pegawai Kementerian Kesihatan.
SPR sepatutnya memastikan seramai mungkin pengundi keluar pada hari pembuangan undi pada 20 November nanti, namun badan itu melakukan hal yang sebaliknya.
SPR masih berada di takuk lama dengan pemikiran lapuk dan usang dalam memahami tanggungjawabnya. Badan itu harus sedar bahawa tugasnya bukan hanya sekadar untuk memastikan hari pembuangan undi berjalan dengan lancar, malah perlu memberi tumpuan kepada perjalanan kempen -- memberi kesedaran kepada pengundi tentang kepentingan untuk mengundi, dalam hal ini, mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka. Dengan mengharamkan semua bentuk kempen secara fizikal, SPR telah culas dalam menjalankan tanggungjawabnya.
SPR harus mengambil iktibar daripada pilihan raya di Jordan dan Algeria yang dijalankan dalam suasana pandemik, di mana kadar peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu masing-masing sebanyak 30% dan 29%, dengan melakukan sehabis baik bagi memastikan perkara yang sama tidak berlaku dalam pilihan raya negeri Melaka.
Saya menggesa Pengerusi SPR untuk meletak jawatan jika kadar peratusan keluar mengundi pada 20 November ini berada pada tahap di bawah 50%, kerana jika perkara itu berlaku, SPR jelas sudah gagal untuk menjalankan pilihan raya negeri Melaka secara “bebas, adil dan bersih”.
Menjelang hari pembuangan undi yang akan tiba dalam masa lima hari lagi, saya menyeru SPR supaya sedar akan tugasnya untuk menjalankan pilihan raya secara “bebas, adik dan bersih” dengan segera menarik balik larangan kempen fizikal dan membenarkan kempen secara fizikal dijalankan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
SPR harus dilihat bekerja keras dalam memastikan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka kali ini melebihi paras 70%!