Seruan kepada pengundi Melaka untuk memimpin kempen Utamakan Malaysia berjangka panjang untuk 20 ke 30 tahun yang akan datang bagi menjadikan Malaysia sebuah negara hebat berkelas dunia

Saya melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Gadek pagi semalam di mana G Saminathan -- yang sebelum ini difitnah sebagai seorang pengganas Tamil Tiger dan ditahan secara salah sebelum dibebaskan hanya beberapa hari sebelum konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 -- diamanahkan untuk bertanding.

Nasib baik Saminathan dibebaskan hanya sebelum kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan selepas 22 bulan diundi secara sah melalui Langkah Sheraton, jika tidak, beliau dan mereka yang lain yang ditahan bersama di atas tuduhan dibuat-buat berkaitan dengan Tamil Tigers mungkin akan ditahan untuk masa yang lama.

Lawatan saya ke Pulau Sebang (yang berada di dalam Gadek) mengingatkan saya kepada acara protes jalan kaki DAP daripada Pulau Sebang ke Bukit Cina di Melaka dalam kempen Selamatkan Bukit Cina pada tahun 1984 apabila polis secara tidak adil menyekat acara “Kayuhan Berganti Selamatkan Bukit Cina” dari Kuala Lumpur ke Bukit Cina dan merampas basikal yang digunakan dalam acara DAPSY tersebut.

Sebagai tanda protes, saya memimpin acara protes jalan kaki ini dari Pulau Sebang ke Bukit Cina dan walaupun kedua-dua kaki saya “terbarai” di hujung perjalanan ini, dengan lepuhan di seluruh telapak kaki, ia kekal menjadi contoh “kemarahan terhadap ketidakadilan”.

Pagi ini, saya lawati Bukit Cina bersama dengan calon DAP untuk Bandar Hilir, Leng Chau Yeng dan Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Dicatatkan di bahagian maklumat Tokong Sam Poh di Bukit Cina bahawa terdapat kubur Melayu dan Portugis di bukit perkuburan berusia 400 tahun tersebut. Perkara ini adalah bukti kukuh bahawa kempen “Selamatkan Bukit Cina” pada tahun 1984/5 ini adalah satu kempen untuk menyelamatkan bukit yang bersejarah untuk semua komuniti, bukan untuk mana-mana satu kaum. Kerana inilah kempen “Selamatkan Bukit Cina” yang dilancarkan pada tahun 1984 ini dapat berubah menjadi satu kempen nasional dan memenangi sokongan semua kumpulan kaum dan agama semasa kerajaan negeri Melaka pimpinan UMNO pada waktu itu juga memusnahkan kawasan perkuburan ini untuk pembangunan komersial demi ketamakan kepada keuntungan.

Seperti mana rakyat Melaka dan Malaysia telah berjaya dalam kempen “Selamatkan Bukit Cina” untuk generasi yang akan datang, saya seru kepada pengundi di Melaka untuk melancarkan satu lagi pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November ini -- untuk memimpin kempen jangka panjang Utamakan Malaysia di seluruh negara yang akan berlangsung selama 20 ke 30 tahun untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat berkelas dunia.

Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia -- Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat -- dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menjadi negara hebat bertaraf dunia sekiranya kita tidak berfikiran terbuka dan menggunakan kelebihan dan nilai-nilai keempat-empat tamadun hebat ini.

Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menjadi negara hebat bertaraf dunia, tetapi perkara ini akan mengambil masa yang panjang dan kita mesti mempunyai stamina, ketahanan, dan komitmen untuk menjayakan cita-cita ini kerana telah terus menerus tercicir di belakang banyak negara dalam setengah abad yang lepas.

Semalam, saya juga telah melawat kawasan DUN Bemban di mana Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew bertanding, beliau berpindah daripada kawasan DUN Bandar Hilir yang agak selamat ke kawasan DUN Bemban yang lebih mencabar.

Apa yang Kok Kiew lakukan ini adalah tradisi terbaik DAP.

Saya tidak teragak-agak untuk meninggalkan Melaka selepas 17 tahun untuk memimpin kempen “negeri barisan hadapan” DAP Pulau Pinang pada tahun 1986, sebagaimana saya tidak teragak-agak untuk bertanding di Ipoh Timur pada tahun 2004 untuk mengembalikan semula pengaruh DAP di Lembah Kinta atau semasa saya bertanding di Gelang Patah pada tahun 2013 untuk menjadikan Johor negeri barisan hadapan baharu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih adil dan saksama.

Kok Kiew patut mendapat sokongan penuh pengundi Bemban dalam kempen baharu DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia menjelang 2050.

Saya kini berusia 80 tahun, tetapi saya cukup muda untuk masih mengimpikan sebuah Malaysia yang lebih hebat menjelang 2050.

Inilah Impian Malaysia saya!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri