Bantahan kepada pencalonan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka dalam Bersatu menjadi satu bom masa untuk Bersatu

Rakyat Malaysia pastinya terkejut dengan pelbagai pengakuan Muhyiddin Yassin sebagai seorang pembelot dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang dikeluarkan dalam dua hari yang lepas ini, terutamanya kenyataan beliau mengatakan yang beliau tidak seperti Mahathir Mohamad dan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan menipu rakyat.

Kelihatan seperti perancang utama konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan selepas diundi secara sah ini dan kemudiannya membawa masuk dua kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik ini bukanlah Azmin Ali tetapi Muhyiddin Yassin.

Hasil daripada pengakuan-pengakuan Muhyiddin ini, terdapat keperluan untuk menilai semula kejadian-kejadian sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan untuk memahami mengapa janji-janji reformasi institusi dan perubahan ditentang dari dalam, seperti kejadian penangkapan wakil rakyat atas tuduhan berkenaan aktiviti keganasan berkenaan Tamil Tigers di Sri Lanka yang dibuat-buat atau cubaan sabotaj pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Biar apa pun, kerjaya Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan akan diingati dengan tiga perkara:

  1. Konspirasi Langkah Sheraton.
  2. Kegagalan beliau dalam menguruskan wabak Covid-19.
  3. Penyalahgunaan kuasa dengan pengisytiharan darurat kononnya untuk melawan wabak Covid-19 tetapi sebenarnya untuk memanjangkan hayat kerajaannya.

Saya masih ingat lagi perbahasan yang panjang di Parlimen yang berlarutan sehingga awal pagi 44 tahun lalu apabila kerajaan Barisan Nasional menyalahgunakan majoritinya di Parlimen untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan daripada PAS.

Tidak ada sesiapa pun menuduh DAP sebagai ekstremis, anti-Melayu, atau anti-Islam apabila Ahli-ahli Parlimen DAP menyokong Ahli-ahli Parlimen PAS untuk menolak penyalahgunaan kuasa dengan mengisytiharkan darurat ini pada 8 November 1977.

Muhyiddin tidak berani untuk ke Parlimen bagi mengisytiharkan darurat pada bulan Januari tahun ini, jika tidak beliau akan menjadi seorang Perdana Menteri dengan penggal tidak sampai setahun kerana beliau akan dibuktikan tidak mempunyai majoriti di parlimen dan akan terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Namun, perkara ini terbukti menjadi kegagalan terbesar beliau, dan beliau menyebabkan rakyat Malaysia menanggung bala dan beban yang teramat besar dalam pandemik Covid-19 akibat daripada konspirasi Langkah Sheraton ini.

Semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, terdapat sejumlah 29 kes terkumpul dengan sifar kematian akibat Covid-19.

Semasa beliau mengumumkan darurat pada 11 Januari 2021, jumlah kes terkumpul adalah sebanyak 138,224 kes dengan 555 kematian.

Semasa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, 17 bulan dan 16 hari kemudian pada 16 Ogos 2021, sejumlah 1,424,639 kes telah dicatatkan dalam negara, dengan 12,780 kematian akibat Covid-19.

Kini, terdapat 2,535,338 kes dan 29,576 kematian akibat Covid-19.

Belum ada dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri yang gagal seteruk Muhyiddin ini.

Adakah Ismail Sabri kini akan mengikuti jejak langkah Muhyiddin?

Muhyiddin cuba untuk membezakan Bersatu daripada UMNO dengan meminta semua calon-calon Bersatu untuk mengangkat sumpah anti-rasuah.

Muhyiddin tidak salah apabila beliau mengatakan yang kemenangan UMNO akan menandakan kepulangan kleptokrasi, tetapi dalam pemerintahan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri, kita dapat menyaksikan peningkatan melampau korupsi.

Saya masih menunggu jawapan Muhyiddin kepada persoalan saya, sama ada beliau akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sekiranya Bersatu disapu bersih oleh UMNO dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

Muhyiddin kini berhadapan dengan bom masa di Melaka -- kegagalan beliau untuk mengumumkan Mas Ermieyati Samsuddin sebagai calon Ketua Menteri Melaka Bersatu, kerana bantahan kuat dalam partinya sendiri.

Bolehkah Muhyiddin mematikan bom masa ini di Melaka?

Ini adalah artikel ketiga saya daripada lapan artikel mengenai “Tahun-tahun saya di Melaka”.

Artikel ini merujuk kepada pelbagai episod dan kisah-kisah yang diceritakan semula dalam dua buku yang diterbitkan baru-baru ini; “Lim Kit Siang: Malaysian First, Volume One” oleh Kee Thuan Chye dan “Lim Kit Siang: Patriot, Leader, Fighter” oleh Liew Chin Tong.

Seperti yang dikatakan oleh George Santayana, “Mereka yang tidak belajar daripada sejarah pasti akan mengulanginya”. Janganlah kita ulangi kesilapan masa lepas.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri