Dalam era 70-an dan 80-an, Melaka adalah negeri peneraju dalam kempen “Malaysian First” -- kini obor itu kembali ke Melaka

Ramai yang fikir saya orang Melaka. Mereka silap.

Saya dilahirkan, dibesarkan dan mendapat pendidikan di Batu Pahat, Johor sehingga tamat sekolah menengah.

Saya pertama kali melawat Melaka pada bulan April 1955 semasa saya di Tingkatan Satu dengan berbasikal bersama dua rakan sekelas saya, Tan Tik Seng dan Allan Goh Chay Foo dari Batu Pahat ke Melaka semasa cuti sekolah April.

Kami melawat tapak bersejarah yang menjadi tarikan pelancongan di Melaka -- Stadthuys, Bukit St. Paul, A’Famosa, Bukit Cina, telaga Cheng Ho dan Hang Tuah -- namun, apa yang paling menarik perhatian kami adalah Mesyuarat Afro-Asia pertama yang diadakan di Bandung pada 18 hingga 25 April 1955.

Ini adalah perkara pertama yang menarik perhatian kami sepanjang berbasikal sejauh 62 batu selama dua hari dari Batu Pahat ke Melaka (bermalam sehari di Muar) ketika pemimpin-pemimpin Asia, Afrika dan negara-negara Dunia Ketiga bertemu buat kali pertama -- tokoh-tokoh besar seperti Chou En-lai, Nehru, Sukarno, Nasser, Tito dan Nkrumah.

Saya tidak menyangka yang saya akan meluangkan masa selama 17 tahun di Melaka sebagai Ahli Parlimen dan selama 17 bulan di Muar ketika ditahan di Pusat Tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saya sepatutnya tidak bertanding di kawasan Parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969, kawasan Parlimen yang saya bersedia untuk bertanding adalah kerusi Parlimen Bukit Bintang di Kuala Lumpur, namun memandangkan kami mencapai persefahaman dengan Parti Gerakan pada 1969, yang membabitkan peruntukan kerusi Bangsar kepada DAP dan Bukit Bintang kepada Gerakan, saya dikhabarkan akan bertanding di Damansara, menentang Michael Chen.

Tiada kepastian yang jelas sama ada DAP akan menang banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum 1969 kerana kami hanya berharap untuk menang satu atau dua kerusi tetapi bersedia untuk berjuang dalam jangka masa panjang bagi membawa idea sebuah Malaysia yang majmuk yang menjadi milik semua rakyat Malaysia, bukan hanya satu kaum atau agama.

Pada saat-saat akhir, saya berasa mempunyai peluang yang cerah untuk menang jika saya bertanding di kerusi Parlimen Bandar Melaka, dan saya dihantar ke Melaka untuk mengibarkan panji DAP untuk memperjuangkan Malaysia yang adil, demokratik dan lebih baik.

Jadi saya bertandang ke Melaka sebagai orang luar yang mempunyai hanya beberapa rakan dalam parti, yang juga dianggap orang luar di Melaka, sama-sama berjuang dalam pilihan raya umum pertama yang disertai kami bersama dengan pemimpin Melaka yang telah dilantik sebagai Adun Melaka, seperti like Michael Khong Chye Huat (Kota Tengah), Bernard Sta Maria (Kota Timor), Ho Mong Yew (Kota Barat) pada Pilihan Raya Umum 1969.

Saya berusia 28 tahun ketika itu, tetapi seperti mana semua anak muda yang berkobar-kobar, jiwa kami dipenuhi dengan idealisme dan bersedia untuk menawan dunia -- tak endah “berapa tinggi petala langit, berapa dalam kerak bumi”!

Saya berada di Kota Kinabalu semasa rusuhan 13 Mei 1969 tercetus di Kuala Lumpur. Meskipun saya berkali-kali dimomokkan sebagai dalang rusuhan 13 Mei 1969, dituduh kononnya mengetuai perarakan haram di sepanjang jalan Kuala Lumpur dan kononnya menghamburkan kata-kata nista berbaur anti-Melayu, hakikatnya saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum 1969.

Jika saya benar-benar bersalah seperti yang didakwa, kerajaan hari ini dan pihak polis sudah tentu tidak akan membiarkan saya.

Saya mungkin satu-satunya ahli Parlimen pada 1969 yang menyertai perarakan dan perhimpunan kemenangan yang sah di Melaka pada 12 Mei 1969 kerana saya dijadualkan untuk berlepas ke Sabah pada pagi 13 Mei 1969 kerana hari mengundi di Sabah akan diadakan dua minggu selepas hari pengundian di semenanjung.

Saya berucap di perhimpunan awam di Kota Kinabalu ketika saya diberitahu oleh seseorang dari pentas belakang bahawa masalah sedang tercetus di Kuala Lumpur tetapi saya tidak pasti tentang butir-butirnya.

Keesokan paginya pada 14 Mei 1969, saya diberikan arahan pengusiran untuk meninggalkan Sabah oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mustapha, kerana kononnya menghina beliau di perhimpunan awam dekat Kota Kinabalu.

Saya terlepas penerbangan dari Kota Kinabalu pada 14 Mei, dan sekumpulan penunggang kuda dari suku Bajau yang merupakan pengikut rapat Tun Mustapha telah pergi ke lapangan terbang untuk memberi tekanan terhadap saya selepas apa yang saya perkatakan tentang Tun Mustapha di perhimpunan awam di Kota Kinabalu.

Saya berlepas dari Kota Kinabalu pada 15 Mei, tetapi memandangkan Lapangan Terbang Subang berada di bawah perintah berkurung, saya singgah ke Singapura dan bermalam bersama C.V Devan Nair selama tiga malam.

Pemimpin parti, teman-teman dan ahli keluarga menasihati saya untuk tidak pulang ke tanah air kerana berisiko akan ditahan. Mereka menasihati saya untuk mengasingkan diri sehingga krisis ini reda.

Namun, saya tiada teragak-agak untuk pulang ke Malaysia, kerana bagaimana seseorang boleh menjadi pemimpin dan Ahli Parlimen kalau mereka tidak bersedia untuk berkongsi keresahan dan masalah dengan rakyat.

Selepas Lapangan Terbang Subang dibuka semula, saya membeli tiket untuk pulang ke tanah air.

Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan berlepas ke Ipoh kerana jika saya tidak muncul di lapangan terbang Ipoh, pemimpin parti dan ahli keluarga secara tidak langsung akan mendapat petanda bahawa saya telah ditahan.

Di lapangan terbang Subang, semua penumpang turun untuk diperiksa oleh pihak berkuasa imigresen memandangkan kami berlepas dari negara asing.

Terdapat seorang pegawai imigresen dan dua pegawai polis bersenjata memeriksa penumpang yang beratur di hujung landasan terbang.

Apabila tiba waktu saya untuk diperiksa, saya bertanya sama ada mereka sedang mencari saya. Mereka memandang tepat ke arah saya, memeriksa passport saya dan membawa saya ke kereta polis yang sedang menunggu tidak jauh dari situ -- menandakan penahanan pertama saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saya tidak pernah menyesal pulang ke tanah air untuk berdepan dengan penahanan di bawah ISA. Menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen yang baru dipilih dan seorang pemimpin DAP.

Saya dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP semasa saya ditahan di Pusat Tahanan Muar semasa saya pertama kali ditahan di bawah ISA.

Saya berusia 28 tahun ketika itu dan saya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung DAP selama 30 tahun sehingga 1999.

Dalam tahun 70-an dan 80-an, Melaka ada negeri peneraju dalam kempen “Malaysian First”. Dua dekad selepas itu, obor negeri peneraju itu bergilir-gilir diserahkan kepada Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor.

Kini obor “Malaysian First” itu kembali ke Melaka dalam pilihan raya negeri Melaka pada 20 November 2021.

Sepanjang tujuh hari akan datang, saya akan menulis tentang tahun-tahun saya di Melaka.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri