Seruan kepada pengundi Melaka untuk melihat kepada statistik Covid-19 apabila mereka membuang undi dalam PRN Melaka

Saya ingin membuat satu seruan yang ringkas hari ini -- untuk meminta pengundi Melaka melihat semula statistik Covid-19 di Malaysia apabila mereka membuang undi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November 2021.

Sebabnya mudah: Wabak Covid-19 ini memberikan kesan kepada semua aspek kehidupan kita, bukan sahaja di Melaka, tetapi di seluruh negara -- ekonomi, peluang pekerjaan, persekolahan dan universiti, pergerakan, kehidupan peribadi rakyat sama ada dalam bidang sukan, rekreasi, sosial, atau kehidupan berkeluarga.

Tidak dapat dibayangkan apabila pemimpin Perikatan Nasional dan Barisan Nasional cuba untuk mengasingkan kesan pandemik Covid-19 ini daripada kempen mereka sedangkan ekonomi dan kehidupan sosial di Melaka terjejas secara terus akibat daripada wabak ini.

Apabila PRN Melaka berlangsung pada 20 November, negara kita bakal mencecah jumlah 2.6 juta kes terkumpul dan 30,000 kematian terkumpul akibat Covid-19 -- sedangkan Korea Selatan, sebuah negara dengan jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding dengan Malaysia, berada di tempat ke-73 dari jumlah kes terkumpul dengan 388,359 kes dan 3,033 kematian akibat Covid-19.

Malaysia kini berada di tempat ke-20, dengan 2,528,821 kes dan 29,535 kematian akibat Covid-19.

Apa yang membimbangkan adalah dalam tiga hari yang lepas, negara kita kelihatan seperti telah hilang kawalan dengan peningkatan kes harian, dengan peningkatan kepada 5,403 kes pada 9 November, 6,243 kes pada 10 November, dan 6,323 kes semalam.

Sebaliknya, Indonesia mencatatkan rekod 436 kes sahaja semalam -- hari ke-28 berturut-turut negara tersebut mencatatkan angka dalam julat tiga angka -- dengan 16 kematian akibat Covid-19, hari ke-42 berturut-turut negara tersebut mencatatkan kematian dalam julat dua angka, berbanding dengan 6,323 kes dan 49 kematian di Malaysia semalam.

Bolehkah sesiapa di Kementerian Kesihatan atau dalam kerajaan Ismail Sabri menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan prestasi yang sebegitu buruk sekali berbanding dengan Indonesia dalam mengendalikan wabak ini -- sama ada perkara ini adalah petanda serius yang selepas kalah dengan Taiwan, Korea Selatan, SIngapura, dan Vietnam, kini kita sedang kalah dengan Indonesia pula?

Indonesia mencatatkan kadar serendah 242 kes baharu pada 8 November dan kadar kematian serendah 11 korban pada 7 November berbanding dengan Malaysia yang tidak pernah lagi turun ke bawah paras 4,343 kes dan 35 kematian yang dicatatkan pada 7 November 2021.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri