Mampukah Agenda Nasional Malaysia Sihat ini berjaya, sedangkan kerajaan sendiri tidak bersedia untuk mengakui bahawa Malaysia telah menjadi salah sebuah negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam menangani penularan wabak Covid-19?
Perdana Menteri, Ismail Sabri hari ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19 bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.
Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal; iaitu penggal pertama bermula pada 2021 sehingga 2025, dan penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir pada 2030.
Mampukah agenda ANMS ini berjaya, sedangkan kerajaan sendiri tidak bersedia untuk mengakui bahawa Malaysia telah menjadi salah sebuah negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam menangani penularan wabak Covid-19, malah parti-parti politik dalam kerajaan dilihat bermati-matian mahu menghalang isu wabak Covid-19 daripada menjadi isu utama yang dibincangkan dalam pilihan raya negeri Melaka yang akan diadakan pada 20 November 2021?
Sebaliknya pula yang berlaku.
Semalam, Presiden Bersatu dan Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin untuk sekian kalinya bercakap mengenai “sinar cahaya di penghujung terowong” dalam perjalanan negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19 ini semasa menyampaikan perbahasan Belanjawan 2022 di Parlimen -- dan Muhyiddin telah memperkatakan mengenai perkara yang sama sejak beliau menjadi Perdana Menteri sehinggalah beliau hilang jawatan itu.
Namun, “sinar cahaya di penghujung terowong” ini terbukti hanya berkelipan, dan walaupun Malaysia kini berada di tempat ke-10 dari segi negara yang mempunyai kadar vaksinasi lengkap tertinggi, kita masih berada dalam kalangan 20 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi dan juga kes baharu harian. Pada masa yang sama, kita juga mencatatkan antara kadar kematian harian per sejuta penduduk tertinggi di ASEAN dan Asia (purata Asia adalah 0.31 manakala Malaysia mencatatkan 2.38 pada 9 November 2021).
Kebetulan pula, selepas Muhyiddin berucap di Parlimen, angka kes harian Covid-19 semalam meningkat, daripada 5,402 kes hari sebelumnya kepada 6,243 kes -- kadar tertinggi dalam dua minggu yang lepas yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar 2,232 kes dan empat kematian akibat Covid-19 pada 11 Januari tahun ini semasa Muhyiddin mengumumkan darurat kononnya untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia!
Bagaimanakah “sinar cahaya di penghujung terowong” sudah dapat dilihat sekiranya semua bentuk kempen secara fizikal diharamkan di Melaka atas nama wabak Covid-19?
Apabila para pengundi keluar mengundi pada 20 November, Malaysia akan mencatatkan hampir tiga juta kes terkumpul dan lebih daripada 30,000 kematian akibat Covid-19, termasuklah 6,000 kes kematian dibawa ke hospital (BID).
Apa yang lebih mengejutkan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional seolah-olah mahu menutup isu penularan wabak Covid-19 dalam PRN Melaka kali ini, sekali gus mahu memastikan isu tiga juta kes Covid-19 dan 30,000 korban akibat wabak itu tidak menjadi isu utama yang dibincangkan dalam PRN tersebut.
Rakyat Malaysia kini menanggung bala kes jangkitan dan korban akibat Covid-19 yang tinggi akibat daripada konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, yang menggulingkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan yang sah yang dipilih rakyat dan membawa masuk kerajaan pintu belakang, tidak demokratik dan tidak sah.
Saya yakin apa jua kekurangannya, kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan angka jangkitan dan korban Covid-19 kekal rendah, seperti Korea Utara, yang hari ni berada di kedudukan ke-73 antara negara dengan kes keseluruhan Covid-19 tertinggi -- 388,351 kes dan 3,033 korban.
Sebaliknya, kita masih merekodkan jumlah kes keseluruhan Covid-19 dan kematian akibat wabak itu yang begitu tinggi iaitu masing-masing berjumlah 2,522,498 dan 29,486.
Pengundi di Melaka harus menolak dua kerajaan gagal pintu belakang yang tidak demokratik dan tidak sah yang terbentuk susulan konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 bagi mengawal penularan wabak Covid-19 semasa mereka membuang undi pada 20 November 2021.