Pilihan Raya Negeri Melaka adalah pilihan raya paling bercelaru dalam enam dekad sejarah Malaysia, dengan besar kemungkinan ramai calon akan hilang wang deposit

Pilihan Raya Negeri Melaka adalah pilihan raya paling bercelaru dalam enam dekad sejarah Malaysia, dengan besar kemungkinan ramai calon akan kehilangan wang pertaruhan.

Terdapat 112 calon yang akan merebut 22 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka. Berlaku pertembungan tiga penjuru di 11 kerusi, empat penjuru di sembilan kerusi, lima penjuru di lima kerusi dan enam penjuru di tiga kerusi.

Meskipun ini cuma pilihan raya negeri, ia tetap akan memberikan impak yang meluas terhadap masa depan Malaysia, malah akan menentukan nasib Ismail Sabri -- sama ada beliau akan menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia, lebih singkat daripada perdana menteri kerajaan “pintu belakang”, Muhyiddin Yassin.

Ia juga akan menentukan sama ada kleptokrasi akan kembali mencengkam Malaysia.

Salah satu senjata yang digunakan dalam kempen pilihan raya negeri Melaka ini adalah pembohongan dan penyebaran maklumat salah.

Antaranya pihak yang menggunakan senjata itu adalah pemimpin Bersatu yang baru-baru ini menuduh DAP sebagai cauvinis dan anti-Melayu.

Saya tidak faham mengapa beliau perlu membuat tuduhan semberono begitu. Saya telah menceburi bidang politik hampir 57 tahun dan tidak pernah sekalipun saya anti-Melayu.

Di satu pihak yang lain pula, mereka menuduh saya sebagai cauvinis sebenar yang telah menggadaikan kepentingan dan hak kaum Cina, selain memomokkan saya sebagai pengkhianat kepada kaum Cina, kerana saya pernah berkata bahawa belajar Jawi atas pilihan sendiri tidak menjadikan seseorang itu kurang menjiwai semangat rakyat Malaysia -- Hakikatnya, saya memang pernah mempelajari Jawi ketika pertama kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Muar pada 1969.

Saya masih ingat, 44 tahun lalu, pada malam 8 November 1977 semasa Ahli Parlimen DAP menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen PAS yang ketika itu menolak pengisytiharan darurat di Kelantan dan membantah usul yang memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

Ahli Parlimen DAP menyuarakan bantahan di Parlimen berhubung usul pelaksanaan darurat di Kelantan, yang mana dibahaskan sehingga jam 2.45 pagi keesokan harinya.

Masa itu, tiada pula yang mengatakan DAP anti-Melayu dan anti-Islam!

Benarkan saya untuk mengajukan satu soalan kepada pemimpin Bersatu berkenaan dan persoalan ini juga terbuka untuk dijawab oleh semua ahli politik yang bergiat dalam parti-parti politik yang bertunjangkan ideologi ketuanan Melayu -- Pernahkah mereka dipenjarakan atau mengorbankan kelayakan mereka sebagai Ahli Parlimen kerana semata-mata mempertahankan maruah dan kehormatan seorang gadis Melayu bawah umur seperti yang pernah dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 1994?

Pilihan Raya Negeri Melaka adalah wadah yang sesuai untuk menguburkan segala pembohongan dan penyebaran maklumat salah seumpama ini.

Meskipun Ismail Sabri sudah ‘insaf’ dan mencipta slogan “Keluarga Malaysia”, beliau perlu membuktikan bahawa beliau telah benar-benar berubah.

Hanya setelah beliau menjadi perdana menteri barulah saya terjumpa pelbagai poster dan kenyataan beliau yang menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan anti Islam di media sosial, terutama berhubung isu ratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada penghujung tahun 2018.

Pemimpin DAP tidak tahu-menahu tentang isu ratifikasi ICERD sehinggalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Malaysia akan meratifikasi ICERD semasa beliau berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Isu ratifikasi ICERD memberikan “peluru” kepada ahli politik ketuanan Melayu untuk mengeluarkan kenyataan rasis dan Ismail Sabri adalah salah seorang yang menangguk di air keruh dalam isu berkenaan.

Kita terperangkap dalam suasana toksik pembohongan, penyebaran maklumat salah, kebencian, perkauman dan keagamaan, yang mudah dijadikan alat sewaktu isu ICERD mula meletus pada 2018, yang juga mencetuskan konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menggulingkan sebuah kerajaan yang sah dan dipilih secara demokratik, yang kemudiannya digantikan dengan kerajaan pintu belakang dan tidak sah, malah menyebabkan hampir 30,000 terkorban dan lebih 2.5 juta dijangkiti wabak Covid-19 sepanjang 22 bulan lalu.

Menteri Luar Negeri yang bertanggungjawab terhadap isu ICERD itu dilantik semula ke jawatan asal dalam kerajaan baharu.

Saya menggesa Saifuddin Abdullah untuk menyatakan perkara sebenar bahawa DAP tidak ada kena-mengena dengan isu ratifikasi ICERD meskipun DAP telah dituduh sebagai dalangnya.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri