Meskipun peningkatan mendadak kes jangkitan dan korban Covid-19 di Malaysia sudah terhenti, adakah kita akan menyaksikan negara ini merekodkan 2.6 juta kes terkumpul jangkitan Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 30,000 korban pada 100 hari pertama Ismail Sabri menjadi perdana menteri pada 28 November ini?

Peningkatan mendadak kes jangkitan dan korban akibat Covid-19 telah terhenti, meskipun negara ini merekodkan 4,543 jangkitan dengan 58 korban Covid-19 semalam -- kadar penurunan yang dilihat begitu perlahan.

Kita bukan sahaja tidak mampu untuk menamatkan gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia -- gelombang ketiga berlanjutan selama 14 bulan sejak pilihan raya negeri Sabah berlangsung pada tahun lalu -- kita juga menunjukkan prestasi yang lebih buruk berbanding Indonesia, malah India dalam kadar penurunan kes jangkitan dan korban Covid-19.

Semalam, Indonesia bukan sahaja mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 dalam lingkungan julat tiga angka untuk tempoh 25 hari berturut-turut, malah berjaya mengekalkan kadar korban Covid-19 dalam lingkungan julat dua angka untuk tempoh 39 hari berturut-turut -- 244 kes jangkitan dengan 12 korban (berbanding Malaysia yang merekodkan 4,542 jangkitan dan 58 korban Covid-19 semalam).

Kita bukan sahaja tewas kepada Indonesia, malah turut tewas kepada India.

India mempunyai jumlah penduduk 43 kali ganda lebih ramai berbanding Malaysia, tetapi India merekodkan 7,841 kes jangkitan dengan 304 korban semalam berbanding Malaysia yang merekodkan 4,542 jangkitan dengan 58 korban.

Saya yakin sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020, kita mampu untuk mengekalkan kadar jangkitan dan korban Covid-19 pada tahap yang terendah, seperti Korea Selatan, yang kini berada di kedudukan ke-73 di dunia dengan jumlah kes keseluruhan Covid-19 tertinggi. Korea Selatan mencatatkan 381,694 kes terkumpul Covid-19 dengan 2,980 korban keseluruhan setakat semalam.

Sebaliknya di Malaysia, meskipun kadar peningkatan mendadak kes jangkitan dan korban Covid-19 telah terhenti, adakah kita akan menyaksikan negara ini merekodkan 2.6 juta kes terkumpul jangkitan Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 30,000 korban pada 100 hari pertama Ismail Sabri menjadi perdana menteri pada 28 November ini?

Dan adakah kita akan kekal di kedudukan ke-20 dengan jumlah kes keseluruhan Covid-19 tertinggi di dunia?

Inilah kesan dan akibat daripada konspirasi Langkah Sheraton -- daripada kurang setengah juta jangkitan Covid-19 dan kurang 3,000 korban akibat wabak itu, kita sedang menuju angka 2.6 juta untuk jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dan 30,000 korban keseluruhan akibat wabak itu menjelang 100 hari pertama Ismail Sabri sebagai perdana menteri!

Ini antara sebab mengapa Pakatan Harapan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Ismail Sabri pada 13 September 2021 -- untuk menyelamatkan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia kerana kita harus menghentikan peningkatan mendadak kes jangkitan dan korban Covid-19 yang berisiko meningkat kepada lima juta kes jangkitan dengan 100,000 korban Covid-19.

Berapa banyak pula kes jangkitan dan korban terkumpul yang akan dicatatkan pada 100 hari pertama Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan pada 7 Disember 2021?

Ini sebabnya mengapa saya mencadangkan Khairy supaya segera mengadakan mesyuarat dengan pakar kesihatan awam dan swasta bagi mencari cara untuk segera mengakhiri gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia yang telah berlanjutan sejak September tahun lalu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri