Suruhanjaya Pilihan Raya kini telah menjadi agensi kerajaan yang ketinggalan zaman dan bersifat kuno yang bertentangan dengan dasar kerajaan untuk “Hidup bersama dengan Covid” yang menandakan peralihan dari fasa pandemik kepada endemik untuk membuka semula aktiviti dan ekonomi dalam negara

Suruhanjaya Pilihan Raya kini telah menjadi agensi kerajaan yang ketinggalan zaman dan bersifat kuno yang bertentangan dengan dasar kerajaan untuk “Hidup bersama dengan Covid” yang menandakan peralihan dari fasa pandemik kepada endemik untuk membuka semula aktiviti dan ekonomi dalam negara.

Melaka kini berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Adakah SOP Pilihan Raya Negeri Sarawak akan kekal ketat sebagai mana SOP PRN Melaka ini walaupun Melaka berada dalam Fasa 4 sedangkan Sarawak berada dalam Fasa 3 PPN?

Adakah akan terdapat SOP pilihan raya yang berbeza di antara Melaka dan Sarawak kerana kedua negeri ini berada dalam fasa PPN yang berbeza?

Suruhanjaya Pilihan Raya telah meletakkan larangan menyeluruh kepada semua kerja kempen secara fizikal dalam PRN Melaka yang membawa kesan buruk kepada parti-parti Pembangkang yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan televisyen dan radio.

Jelas sekali SPR telah mengabaikan tanggungjawabnya untuk memastikan PRN Melaka ini diadakan secara “bebas, adil, dan bersih”, sebaliknya membenarkan penyalahgunaan kuasa dan amalan korup dalam PRN ini.

Para peguam telah mengatakan yang sekatan Kementerian Kesihatan terhadap semua bentuk kempen secara fizikal di Melaka ini bertentangan dengan undang-undang dan kerajaan sebaliknya patut membenarkan aktiviti di mana penjarakan boleh diadakan dengan mematuhi SOP untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, New Sin Yew, telah berhujah bahawa larangan menyeluruh untuk sebarang perhimpunan untuk pilihan raya ini bertentangan dengan hak undang-undang yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan “bersifat tidak berpatutan dan tidak berasas memandangkan kebanyakan sekatan sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dilonggarkan di seluruh negara.”

Peguam Andrew Khoo mengatakan yang SOP SPR untuk PRN Melaka ini perlu membantu perjalanan proses “demokrasi sebenar” dan tidak patut menyekat mesyuarat dalaman dan perhimpunan dan kempen fizikal dengan pematuhan ketat kepada SOP pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Saya seru kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak menyekat proses demokrasi dengan segera menyemak semula SOP pilihan raya di Pilihan Raya Negeri Melaka dengan cara yang menyeimbangkan antara pilihan raya yang “bebas, adil, dan bersih” dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri